20 May 2013

AFIQ HARUS BERTAUBAT - WAN AKASHAH


"Bertaubatlah pada Allah kerana di antara akibat dan bala yang Dia turunkan pada hambaNya dengan segera apabila anak menderhaka kepada ibu dan ayah mereka.

"Dalam keadaan ini, hadis Nabi ada menyatakan bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapanya dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapanya.




"Biarpun ibu dan ayah itu jahat, anak wajib menghormati mereka yang membesarkannya sejak kecil lagi.

"Lebih baik Afiq tidak bertindak mengikut emosi dan perasaan, bertenang dan jumpa ibu serta bawa berbincang. Minta maaf kepada ibu atas segala dosa yang dilakukan itu," ujar pendakwah selebriti, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, mengenai isu pelakon Afiq Muiz yang didakwa memburukkan ibunya sendiri menerusi sebuah sidang media awal minggu lalu.



Wan Akashah turut berkata, sebagai anak, Afiq tidak boleh memburuk ibunya kepada umum walaupun ibunya itu telah membuat kenyataan media yang dia kecewa dan sedih dengan perubahan sikap anaknya itu sejak bergelar pelakon.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melibatkan Afiq yang meminta ibunya iaitu Hasliza membuat permohonan maaf atas kenyataan media kerana meluahkan isi hatinya yang sudah hancur selepas melihat perubahan Afiq. Selain itu, ibunya juga menyifatkannya Afiq seperti sudah lupa diri sejak dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang pelakon wanita.



Menurut ibunya lagi, Afiq sebelum ini merupakan seorang anak yang baik dan mendengar kata, tetapi tiba-tiba telah berubah menjadi panas baran dan bersikap kurang ajar serta hilang perasaan sayang kepada adik-adiknya.

Berikutan itu, dalam satu sidang akhbar lain, Afiq menafikan kenyataan ibunya itu yang turut dihadiri pelakon muda yang dikatakan kekasihnya itu, Eina Azman, 18. Dalam sidang akhbar tersebut, Afiq mendakwa ibunya tidak lagi menyayanginya dan hanya mahukan duit daripadanya semata-mata.

Malah Afiq turut mempertahankan Eina yang disifatkannya menjadi mangsa keadaan dan Eina juga meminta Hasliza membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu bermula 14 Mei 2013.



"Ingat, kejayaan dia (Afiq) adalah datang daripada ibu bapa yang mendidiknya. Macam mana sekalipun, anak wajib menghormati ibu bapanya terutama ibu. Dalam hadis ada menyebut, antara amalan yang paling disukai Allah ialah sembahyang pada awal waktu dan berbuat baik pada ibu bapa.

"Walau apa pun kejutan yang dibuat ibu daripada segi kenyataan atau tingkah laku, kita mesti wajib hormat walaupun tidak suka. Sebagai anak mesti mengalah, bukannya kutuk.

"Dalam hal ini, letakkan kekasih di tepi. Kerana cinta kepada kekasih boleh membutakan hati antara kaca dan permata kerana cinta membuatkan kita tidak dapat melihat kebenaran dan jasa ibu dan bapa kita," tegas pendakwah yang popular melalui rancangan 'Semanis Kurma' itu.

No comments: