25 September 2013

KALAU DAH JODOH - ADAM NIKAH FIZA ELITE ESOK


Jodoh dan pertemuan di tangan Allah, dan siapa sangka Adam AF yang muda belia bakal berkahwin dengan seorang janda iaitu Fiza Elite esok. Bak kata pepatah, ikan di laut, asam di darat... dalam periuk bertemu jua!

"Sebelum berjumpa secara rasmi buat julung kali, kami kerap berbalas mesej. Kami juga pernah bertemu di beberapa majlis, tetapi setakat menyapa begitu sahaja.




"Satu hari, apabila ternampak gambar profil Fiza bertudung, saya terdetik bertanya sama ada dia berhijah kerana lakonan atau memang sudah berhijrah? Apabila mengetahui itulah imej terbarunya, saya terus mengajaknya keluar. Manalah tahu, jika kami boleh berkongsi serba sedikit pengalaman berhijrah.

"Tak sangka pula undangan saya disambut Fiza. Kami bertemu kali pertama di sebuah restoran di Kota Damansara selepas solat Tarawih. Sejak pertemuan itu, saya terus terpaut kepadanya sehinggakan wajah Fiza sentiasa muncul dalam solat. Jadi saya menganggap itu petunjuk dari Allah," ujar Adam terus-terang kepada media.



Tambah anak muda yang memasuki Akademi Fantasia (AF2) tidak lama dahulu, katanya tak sedaplah asyik berjumpa tetapi tiada sebarang ikatan sah. Daripada menjadi bahan cacian orang, lebih baik mereka bernikah dan ia akan lebih memudahkan pergerakan.

"Saya mengaku keputusan untuk berkahwin diambil terlalu cepat. Keluarga, terutama ibu pada mulanya terkejut juga dengan keputusan yang dibuat dan agak keberatan untuk menerimanya.

"Namun selepas membawa Fiza bertemu ibu pada Syawal lalu, hati ibu berubah. Kelembutan dan sikap Fiza yang pandai mengambil hati keluarga mengubah pendiriannya.

"Malah mereka juga tidak kisah dengan statusnya sebagai ibu tunggal. Bagi saya sendiri, yang penting adalah hati budinya," ujar Adam dengtan ikhlas.

Tahniah diucapkan buat Adam dan Fiza, moga perkahwinan mereka esok akan kekal hingga ke akhir hayat hendaknya. Amin.

No comments: