23 October 2013

KEPERGIAN NOREEN NOOR AMAT DIRASAI - RAKAN


Ramai kalangan rakan artis agak terkejut dengan kepergian pelakon dan penyanyi era 80-an Noreen Noor, akibat kompilasi buah pinggang dan jantung pagi semalam. Ini kerana, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang prihatin, manja dan gemar memberi semangat.

"Saya dan rakan artis yang lain amat terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba ini dan ia merupakan satu kehilangan besar bagi kami kerana dia sahabat yang menyenangkan," kata Norshila Amin ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham semalam.

Danial Baharuddin, 22 menyiram air mawar dipusara
ibunya, Noreen Noor - Klik untuk imej besar...
 


Tambah Norshila, Noreen, 52, sering mengambil berat tentang rakan dan sentiasa menghulur bantuan untuk meringankan beban mereka.

Allahyarham juga seorang anak yang bertanggungjawab dan sanggup berhabis wang membiayai rawatan arwah kedua ibu bapanya.

Allahyarham Nooreen Noor...


Jenazah Nooreen selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai Merlimau, Melaka pada pukul 1.40 tengah hari, semalam.

Hadir pada pengebumian itu ialah anak lelakinya Danial Baharuddin, 22, serta rakan-rakan artis termasuk Siti Fairuz Hussin, Salwa Abdul Rahman, Azizul Khamis dan komposer Eddie Hamid.



Norshila yang mengenali Allahyarham selama 23 tahun berkata kali terakhir mereka bertemu ialah ketika bergandingan dalam sebuah rancangan pada hari raya Aidilfitri lepas namun mereka sering berhubung menerusi laman sosial Facebook dan telefon.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Halimahtun Abdul Jalil berkata beliau sempat berbuka bersama arwah selepas melakukan puasa sunat wukuf Arafah, Isnin lepas.

Katanya beliau menawarkan diri untuk membawa Noreen ke hospital apabila mendapat tahu arwah tidak sihat namun pelawaan itu ditolak kerana arwah tidak mahu menyusahkan sesiapa.

"Arwah sering berada di samping saya di waktu susah dan senang...saya terkejut apabila diberitahu dia memandu sendiri ke hospital ditemani anak angkatnya sebelum meninggal dunia pagi tadi," katanya sambil memberitahu bahawa Noreen tidak mahu berjumpa sesiapa sejak seminggu lepas.

Noreen pernah popular dengan lagu Siang Terbayang Malam Merindu dan muncul di layar perak dengan filem pertama berjudul Talak yang diterbitkan pada tahun 1980 selain pernah membintangi filem Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.





Sumber asal: BERNAMA


No comments: