11 October 2013

KES DADAH - BENJY AKHIRNYA DIBEBASKAN


Dilepas dan dibebaskan!

Begitulah keputusan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman terhadap pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan empat rakannya hari ini dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki dadah, Jun lepas.




Empat rakan Benjy yang turut bebas itu ialah Imran Radzi, 32, pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, serta Afifi Hamidi, 27. Keputusan tersebut dibuat Ayuni selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Semuanya bermula apabila Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menyatakan pihaknya mendapat arahan daripada ketua pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap kelima-lima tertuduh.

Goh berkata pertuduhan itu ditarik balik kerana seorang lagi rakan mereka, Zain Amir Zainal Khairi yang didakwa atas pertuduhan sama, telah mengaku bersalah sebelum ini dan dikenakan denda RM4,000.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon kelima-lima tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan," katanya dipetik sebagai berkata.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula memohon kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan kerana mereka sudah dikira tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan permohonan Amer Hamzah.

Untuk rekod, pada 11 September lepas, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki beg mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.99 gram di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

"Kes ini memberi impak kepada saya kerana disebabkan kes ini saya kehilangan kerja... buat masa sekarang saya ingin menjauhkan diri daripada industri hiburan dan ingin mencari kerja lain," kata benjy ketika ditemui media luar mahkamah.

No comments: