20 November 2013

SAYA MUNGKIN JADI SASARAN PENJENAYAH - NABIL


Masihkah anda ingat dengan tuah Ahmad Nabil Ahmad, 30, atau Nabil Raja Lawak yang baru-baru ini mendapat hadiah kondo bernilai lebih RM1 juta? Ikhlasnya, bukan semua artis bertuah seperti Nabil apabila sering mendapat durian runtuh sejak mendirikan rumah tangga.

Terbaru, mungkin disebabkan fobia... Nabil tiba-tiba mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya. Tindakan tersebut disebabkan dia bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.




Kebimbangan Nabil itu tentu bersebab kerana difahamkan nombor plat kereta Mitsubishi Lancer Evolution 10 miliknya sekarang menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya iaitu huruf NBL.

"Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya.



“Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," ujarnya.

Untuk makluman, baru-baru ini Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla selesai makan malam di sebuah restoran.

Pecah masuk kenderaan itu hanya disedari olehnya ketika dia hendak mengundurkan kereta dan tiba-tiba terlihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah.

Akibat kejadian tersebut, dia kehilangan kad pengenalan dan beg galas yang diisi baju sukan.

"Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya ketika ditemui media di Hotel Istana, Kuala Lumpur semalam sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.

No comments: