11 December 2013

USIA 60 TAHUN - WAN MAIMUNAH NIKAH 13 DISEMBER INI



Usia 60 tahun bukan alasan untuk tidak kahwin lagi. Hal ini dibuktikan oleh pelakon berbakat Wan Maimunah Wan Abdul Aziz yang akan mendirikan rumah tangga ketika memasuki usia emas itu.

Cerita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Wan Maimunah yang dia akan menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Johor pada 13 Disember 2013. Apa yang menarik, lelaki itu lebih muda darinya iaitu berusia 53 tahun.




“Kami mula berkenalan kira-kira dua bulan lalu sebelum bersetuju untuk berkahwin tidak berapa lama selepas perkenalan itu. Saya tidak pernah menjangka akan kembali bergelar isteri apatah lagi pada usia seperti ini, namun kita tidak dapat melawan ketentuan takdir Allah,” ujarnya dipetik sebagai berkata.

Namun apa yang menyedihkannya, ada pihak yang menghubunginya dan melemparkan kata-kata negatif berhubung hari bahagianya itu. Katanya, dia amat sedih apabila ada suara-suara yang melemparkan kata-kata kurang manis seperti dia sudah tua namun masih gatal dan sebagainya.

"Sejujurnya saya bersetuju dengan perkahwinan ini bukan disebabkan hawa nafsu atau harta dunia. Tetapi saya mencari teman hidup, sekurang-kurangnya saya mempunyai peneman hidup yang dapat berkongsi waktu susah dan senang. Walau apa tohmahan masyarakat sekeliling, saya berharap mereka di luar sana dan peminat akan mendoakan kebahagiaan saya," katanya.

Untuk info, Wan Maimunah merupakan pelakon yang agak laris meskipun kadangkala agak lama tidak mendapat 'job' daripada pengarah atau penerbit. Dia pernah membintangi beberapa buah filem popular seperti Kl Gangster, Puaka Tebing Biru, Anak Mami The Movie, Jimi Asmara dan Wanita Bertudung Hitam.

Wan Maimunah juga merupakan pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk 5 tahun berturut-turut pada edisi 1992 - 1996/1997.

Dia menceburi bidang lakonan sejak 1972 dan merupakan pelakon serba boleh yang mampu membawakan apa sahaja watak yang ditawarkan padanya terutama watak ibu yang teraniaya.


No comments: