Akibat dibaling gelas, Johan Raja Lawak yang menerima lima jahitan akibat luka pada dahinya berjaya memenangi kes tuntutan saman. Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 30, menang saman terhadap pengarah drama, Mohd Javed Mohd Nizar menerusi syarikat Juara Filem Productions Sdn Bhd.
Bagaimanapun, tuntutan sejumlah RM1 juta yang dituntut oleh plaintif hanya akan ditentukan jumlah pada 23 Januari ini. Ia sekaligus membatalkan tuntutan balas defendan terhadap Johan dengan jumlah sebanyak RM2 juta.
Dalam pada itu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Gok Yam mengarahkan defendan untuk mengeluarkan kenyataan maaf terhadap plaintif secara terbuka menerusi media cetak dan elektronik.
Johan diwakili peguam Zahrin Ishak dan pembantu peguam, Suhaimi Saad. Sementara defendan pula diwakili peguam Baljit Singh.
Untuk makluman bersama, Johan membuat tuntutan saman terhadap pengarah Mohd Javed menerusi syarikat produksi Juara Filem Productions Sdn Bhd pada Jun 2010, agar membayar RM1 juta sebagai ganti rugi berikutan kes dibaling gelas sehingga menyebabkan kecederaan di dahi pada Mei 2010.
Selain itu, Mohd Javed dalam tuntutan berkenaan turut dituntut agar meminta maaf secara terbuka dan menarik balik surat dan e-mel yang diedarkan kepada persatuan-persatuan seni dan media bagi menjelaskan keadaan tersebut.
Johan turut menuntut ganti rugi khusus sampingan dan bertambah iaitu jika dia membuat pembedahan plastik.
Bagaimanapun, dalam keputusan tuntutan tersebut, Johan tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment