17 April 2014

ISU VIDEO CERAMAH - WARDINA TIADA NIAT AIBKAN USTAZ DON



Jika semalam ada blog dan laman berita yang tersalah tafsir dan 'mensensasikan' kata-kata Wardina Safiyyah dengan menggunakan tajuk 'kecam', terkini Wardina menafikan mempunyai niat mengaibkan Ustaz Don Daniyal.

Untuk info, semuanya bermula apabila Wardina berkongsi video ceramah agama yang dikatakan mengandungi hadis-hadis palsu yang disampaikan penceramah itu.





"Saya bukan ingin menasihati dan tiada niat langsung untuk membuka aib Ustaz Don dengan berkongsi video tersebut tetapi saya ingin mencari kebenaran sahaja.

"Memang ada kata-kata ustaz dalam video tersebut yang membuat ramai orang musykil termasuk saya. Saya rasa ustaz perlu membantu kami orang awam yang tidak faham daripada mana sumber tersebut didapati," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Wardina mengulas mengenai kenyataannya yang menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal. Akibatnya, ia mendapat reaksi bercampur baur daripada pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak TV AlHijrah semalam dikatakan akan turut mengambil pendekatan untuk meneliti kandungan video ceramah Ustaz Don yang disebarkan sebelum sebarang tindakan dilakukan.



Terdahulu, menurut Wardina, tindakannya menegur secara umum bukan bertujuan melakukan serangan peribadi, sebaliknya sekadar mahukan mendapatkan kepastian dan jawapan.

"Saya minta maaf jika ada yang tidak suka cara saya membuat teguran ini secara terbuka. Saya berbuat demikian kerana ceramah itu juga dilakukan secara umum, saya jujur dengan niat ingin bertanya.

"Kata-kata saya di Facebook itu tidak sedikit pun mengecam, mengutuk atau memperkecilkan Ustaz Don kerana ilmu dia lebih tinggi daripada saya," katanya yang akan bertemu dengan pendakwah terbabit bagi membincangkan kemusykilan berkenaan selain mahu bertukar pendapat tentang agama.

Untuk rekod, dalam status yang dimuat naik Selasa lalu, Wardina turut berkongsi video ceramah Ustaz Don bertajuk Kompilasi Hadis Palsu dan Penyelewengan Ustaz Don.

Dia turut meminta pihak ulama dan mufti mengkaji semula kandungan ceramah yang disampaikan melalui video tersebut.

Ustaz Don yang merupakan hos rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9.30 malam ketika ini berada di United Kingdom.


         ________________________


No comments: