20 May 2014

4 LAGU DI DOWNLOAD PERCUMA - WINGS RASA KECEWA



Terkilan dan kecewa!

Begitulah luahan kumpulan rock terkenal, Wings apabila empat buah lagu terbaharu mereka daripada album terbaharu berjudul Menakluk Kosmos yang dipasarkan menerusi iTunes beberapa bulan lalu dimuat turun tanpa bayaran.

Antara lagu-lagu tersebut ialah Peti Pandora Mu, Bisa Yang Tertunda, Ingatkan Dia dan Hey! Lihat Sini. Apa yang menghairankan mereka apabila lagu Hey! Lihat Sini, masih dalam simpanan dan tidak dimuatkan dalam album tersebut.





"Saya sangat-sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Bukan mudah untuk mengeluarkan sebuah album selepas 12 tahun tidak muncul dengan sebarang album. Ini album yang ditunggu-tunggu oleh peminat, tapi akhirnya jadi macam ini. Saya dapat tahu lagu ini dicetak rompak dan albumnya dijual di pasaran apabila ada peminat di Kuantan, Pahang yang beli dan poskan kepada presiden kelab peminat Wings.

"Bagi saya situasi ini sangat teruk berbanding dahulu. Kalau dulu, lagu atau album hanya dicetak rompak setelah album ada di pasaran, tetapi kali ini album belum ada di pasaran, cetak rompak dah ada," ujar Awie ketika ditemui media di majlis pelancaran album berkenaaan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam.



Tambah Awie, dia tidak menolak kemungkinan berlaku kecuaian di pihak yang bertanggungjawab ke atas penerbitan album Wings terbabit iaitu KRU Music. Oleh itu, dia menggesa syarikat yang diterajui oleh Norman Abdul Halim itu membuat laporan polis, seterusnya melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana perkara itu boleh berlaku.

"Saya pun tidak tahu hendak tuduh siapa punya angkara. Sebab itu saya menggesa pihak KRU Music untuk buat laporan polis berhubung perkara ini. Kalau mereka tidak buat, Wings sendiri yang akan buat. Selain itu, saya juga mahu Norman buat siasatan dan jelaskan kepada kami bagaimana isu cetak rompak ini boleh menimpa album ‘Menakluk Kosmos’.

"Wings berhak tahu dan dia juga perlu tahu kerana dia juga sudah buat pelaburan yang besar. Saya bertambah pelik apabila ada sebuah lagu yang tidak dimuatkan dalam album ini pun turut dicetak rompak. Lagu itu kami buat untuk runut bunyi sebuah filem terbitan KRU juga. Saya tak pasti pula apa judul filemnya.

"Perkara ini harus dipandang serius kerana ia sama sekali boleh menjejaskan penjualan album. Saya memang tidak akan bertolak ansur dengan masalah cetak rompak ini kerana telah banyak wang, masa dan tenaga yang telah kami pertaruhkan. Kalau KRU tak siasat, saya dan kawan-kawan saya sendiri yang akan siasat," ujar Awie dipetik sebagai berkata.

Sementara bagi Joe Wings pula, katanya ini bukan kali pertama isu cetak rompak berlaku kepada Wings tetapi ini adalah kali pertama ia berlaku sebelum kami sempat melancarkan album berkenaan.

"Nasib baik KRU Music cepat mengambil tindakan bagi menarik balik album berkenaan dari terus dapat didengar secara percuma menerusi aplikasi itu," katanya.



         ________________________


No comments: