20 June 2014

INFO - KRU LANCAR KARTUN STUDIOS



Dengan objektif memperluaskan pasaran diperingkat domestik dan antarabangsa khususnya penerbitan produk-produk animasi 2D dan 3D bagi kanak-kanak; Kumpulan Syarikat KRU mengumumkan penubuhan Kartun Studios Sdn Bhd, anak syarikat ke sebelasnya yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia baru-baru ini.

"Untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan berterusan dan bersepadu sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur adalah amat penting. Oleh yang demikian pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk rebat penerbitan 30 peratus yang ditawarkan oleh FINAS bagi menggalakkan pelaburan penerbitan kandungan tempatan dan antarabangsa, penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi, penyediaan rangkaian televisyen digital menjelang 2015 dan pelbagai insiatif yang lain.





"Saya gembira melihat usaha Kumpulan Syarikat KRU yang bukan saja mempunyai pelan strategik bagi pemasaran produk-produk terbitan mereka diperingkat tempatan dan antarabangsa melalui penubuhan Kartun Studios, tetapi turut juga melatih anak-anak tempatan sebagai modal insan berkemahiran tinggi di KRU Academy," ujar Shabery.

Sementara menurut Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, penubuhan Kartun Studios bukan saja bertujuan untuk mengkhususkan inisiatif penjenamaan bagi filem-filem serta kandungan siri animasi terbitannya tetapi adalah strategi korporat dan persediaan awal untuk menarik pelabur diperingkat tempatan dan antarabangsa sekaligus memperkasakan kedudukan Kartun Studios didalam tempoh 3 hingga 5 tahun yang akan datang.



"Produk-produk animasi 2D dan 3D memberi prospek terbaik bagi studio-studio tempatan untuk menjadi pemain global. Contohnya, filem Ribbit (filem animasi pertama terbitan KRU) telah mendapat tempahan lebih 80 buah negara dan telah menerima jemputan untuk ditayangkan sebagai World Premiere di Niagara Integrated Film Festival, Canada pada 21hb Jun 2014. Kartun Studios akan menghasilkan sekurang-kurangnya 3 buah filem animasi, 130 siri animasi 3D dan 130 siri animasi 2D didalam tempoh 5 tahun yang akan datang," kata Norman.

Sebagai makluman, Kartun Studios juga mensasar menyediakan sejumlah 1,000 peluang pekerjaan baru bagi penerbitan animasi 2D dan 3D menjelang tahun 2020. Kini di KRU Academy, seramai 200 pelajar sedang mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

KRU Academy bakal menerima sekitar 300 pelajar baru didalam tempoh 1 tahun yang akan datang dan menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran yang dinamakan sebagai “Kreatif X Press” di sekolah-sekolah menengah bagi memberi pendedahan kepada murid serta ibubapa tentang peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan didalam Industri Kreatif.









         ________________________


No comments: