27 June 2014

NIKAH TAK SAH - SHAM KAMIKAZE DI ARAH BUBAR PERKAHWINAN



Gara-gara urusan pernikahan yang dibuat oleh pihak ketiga, Sham Kamikaze dan Nurul Halimin Mohd Salleh diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, untuk membubarkan perkahwinan mereka.

Ini kerana, pihak mahkamah hari ini memutuskan pernikahan di antara Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 38, dan Nurul pada 16 Januari 2012 adalah tidak sah.

Sam dan Nurul di arah berpisah




Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali memerintahkan perkahwinan itu dibubarkan serta merta secara faraq nikah mulai hari ini.

Untuk info, faraq nikah ialah pembubaran sesebuah perkahwinan tanpa jatuh talak. Permohonan berkenaan dibuat sekiranya pasangan suami isteri itu ragu terhadap status perkahwinan mereka.



Selain itu, hakim juga memutuskan bahawa wali hakim yang digunakan pada pernikahan yang diadakan di Masjid Ibu, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang tidak dilantik dengan kebenaran mahkamah.

Sehubungan itu, segala urusan pernikahan yang dibuat oleh pihak ketiga juga tidak diiktiraf dan sijil pernikahan mereka adalah palsu.



Namun begitu, hakim membuat keputusan anak lelaki mereka iaitu Aisy Danial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu adalah anak sah taraf dan Sham boleh dinasabkan sebagai bapa kandung.

Dalam pada itu, Sham ketika ditemui media selepas prosiding memberitahu, dia mendapat tahu wali hakim yang digunakan tidak diiktiraf semasa ingin mendaftarkan nama anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Januari lalu.

"Saya tidak menyangka pernikahan itu mempunyai masalah dan segera merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan kepastian.

"Alhamdulillah semuanya selesai dan apa yang saya lakukan adalah demi melindungi keluarga saya.

"Ia bukan sahaja mengenai taraf anak tetapi juga hak isteri saya di masa hadapan sekiranya sesuatu berlaku kepada saya.

"Ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan saya banyak belajar menerusi kejadian ini," jelasnya dipetik sebagai berkata.

Sehubungan itu, dia dan Nurul Halimin akan bernikah semula dalam masa terdekat dengan menggunakan saluran yang betul.

Sham sebelum ini pernah berkahwin dengan Farazila Abdul Jabar pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum disahkan bercerai oleh mahkamah pada 1 September 2011.





Sumber: MStar Online



         ________________________


No comments: