21 August 2014

MAHU BATAL HAK PENJAGAAN ANAK - PERMOHONAN ROZANA DIBANTAH AWIE



Jika sebelum ini (21 Julai) Awie mendapat hak penjagaan sementara (hadanah) ke atas tiga anaknya, tetapi hari ini isterinya Rozana Misbun, 36, telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Selain itu, Rozana juga memohon pada mahkamah bagi membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh Awie sebelum ini yang menghalang Rozana daripada mendekati atau menghubunginya termasuk anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.





Berikutan sebutan pertama permohonan tersebut yang dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, Awie yang diwakili penguamnya iaitu Mohd Hafizol Pacho itu telah memohon bantahan awal terhadap permohonan isterinya itu.

Mahkamah kemudian telah menetapkan tarikh 17 September 2014 bagi mendengar penghujahan dan tarikh 18 September 2014 untuk keputusan permohonan bantahan tersebut.



Melalui prosiding itu juga, Rozana menerusi peguamnya Majdah Muda, telah telah memohon secara lisan pindaan hak lawatan anak-anak yang diperolehi pada minggu pertama dan minggu ketiga selama dua jam pada setiap bulan di kediaman Awie yang terletak di Ukay Bestari ditukar ke kediaman ibu bapa anak guamnya yang terletak di Pantai Hill Park.

Alasannya, ia berikutan Mahkamah Majistret sebelum ini telah mengeluarkan perintah perlindungan iaitu Rozana tidak dibenarkan berada dekat dengan Awie.



Bagaimanapun, sehingga hari ini mahkamah dimaklumkan yang Rozana tidak pernah dibenarkan berjumpa anak-anaknya.

Untuk tambahan, peguam Rozana turut memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan agar anak guamnya tidak diprejudiskan oleh media sama ada akhbar atau mana-mana media sosial.

Namun kedua-dua permohonan yang dibuatnya itu telah ditolak oleh mahkamah kerana ia perlu dibuat mengikut prosedur.

"Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan.

"Selain itu mahkamah tidak menghalang media massa membuat laporan selagi ianya tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap kes," ujar Amran dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, Awie dan Rozana mendirikan rumahtangga mereka pada 20 Jun 2005 di Songkhla, Thailand dan hasil perkahwinan mereka, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Manakala perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.


         ________________________




No comments: