23 September 2014

LIGA LAWAK - 'MUKA CARI MAKAN’ MULA TUNJUK TARING



Petaling Jaya, 23 September – Liga Lawak Superstar musim 2 (LLS2) yang bersiaran semalam menyaksikan kejayaan kumpulan Muka Cari Makan yang dianggotai Naz Rahman, Pian (Kepoh) dan Uncle Jo mendahului carta liga kumpulan B dengan jumlah 67 markah. Uncle Jo, 52 yang merupakan peserta tertua dalam musim ini membuktikan usia bukan penghalang untuk kumpulan mereka mendominasi saingan pertama kumpulan B.

Mendapat tempoh persediaan yang lebih lama berbanding kumpulan A, ternyata persembahan kumpulan B dilihat lebih konsisten dan cemerlang memainkan situasi yang diberikan pengacaranya, Afdlin Shauki dan Adibah Noor.

Selain Muka Cari Makan, kumpulan Ohsem yang disertai Ammar (Titan), One (Sofazr) dan Danial Hasif hanya mampu mengutip sebanyak 56 markah diikuti rapat oleh kumpulan Melodrama yang satu-satunya kumpulan dengan dua peserta wanita iaitu Zulin Aziz dan Ain selain Izu (Kepoh) dengan 55 markah.





Masih cuba mencari keserasian, antara yang dikenalpasti menjadi penghalang kepada Leez Rosli, Zack (Ooooo) dan Arfan untuk bersinar sebagai pasukan pilihan.

"Apa yang saya lihat kebanyakan peserta tidak memahami arahan yang diberikan dan cenderung melakukan perkara lain daripada yang sepatutnya. Namun saya melihat persembahan minggu ini lebih baik berbanding minggu lepas kerana peserta kumpulan B dilihat lebih bersiap sedia. Harapan saya kepada kumpulan A untuk episod hadapan adalah mereka bakal lebih fokus dan memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada setiap permainan yang bakal diberikan," ulas Erma Fatima.

Erma Fatima, Khir Rahman dan pelakon Namron, telah dijemput sebagai juri profesional.

Beberapa permainan yang harus dipersembahkan oleh para peserta LLS2 kali ini adalah sketsa mengecut, suara kecil, lawatan galeri seni, dan bonekarama. Manakala permainan karaoke Uncle Loke pula lebih mencabar apabila para peserta yang dikurung di dalam ruang khas terpaksa dilumuri ulat yang menggelikan sebagai denda jika lagu tidak dinyanyikan dengan sempurna.

Dalam perkembangan sama, Afdlin Shauki turut mengumumkan beliau bakal mengerjakan haji dan tidak dapat bersama penonton selama empat minggu. Mungkinkah bakal ada pengacara jemputan undangan bagi menggantikan beliau? Semuanya bakal terjawab minggu hadapan.

Pada minggu hadapan pula, penonton bakal melihat kumpulan A memberikan saingan semula. Adakah mereka bakal lebih bersedia untuk membuatkan para penonton bergelak ketawa? Olh itu, jangan lupa saksikan Liga Lawak Superstar musim 2 setiap hari Ahad jam 9.00 malam eksklusif di TV3 dan ulangannya pada setiap hari Jumaat jam 9.30 pagi.

Klik gambar untuk size besar














         ________________________




No comments: