08 October 2014

DAKWA PAPAR KISAH TIDAK BENAR - WARIS AR TOMPEL BAKAL SAMAN MELISSA SAILA?



Kebanyakan fakta yang dipaparkan dalam telefilem biopik Saloma siaran Astro First yang memaparkan kisah hidup Allahyarham AR Tompel didakwa berunsur tohmahan dan tidak benar. Ketidakpuasan hati itu diluahkan sendiri oleh anak pelakon lagenda tersebut iaitu Adlin Aman Ramlie.

Selain rasa kesal, Adlin turut berkata bahawa telefilem yang diterbitkan oleh syarikat produksi Kus Semangat Aktor milik Melissa Saila itu menjejaskan semua nilai dan tanggapan murni masyarakat terhadap arwah AR Tompel.





"Telefilem itu telah memberi impak buruk kepada waris-waris AR Tompel, termasuklah saya sebagai anaknya. Malah saya percaya, peminat-peminat setia ayah juga pasti terkilan selepas menontonnya.

"AR Tompel telah dieksploitasi oleh pihak penyiar, penulis, penerbit, pengarah dan pelakon dalam pelbagai nada prejudis malah berunsur kecaman yang telah mengaibkan sehingga mampu menjejaskan kredibiliti dan reputasinya," ujarnya kesal seolah-olah ayahnya itu menjadi punca Saloma menderita.



Untuk makluman, telefilem tersebut mempunyai dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh dan ia telah disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.

Antara pelakon yang membintangi telefilem tersebut ialah Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).



Sehubungan itu, Adlin yang diwakili peguam dari Azam & Co telah pun mengambil tindakan awal menerusi penghantaran notis kepada Astro agar telefilem itu segera dihentikan. Bagaimanapun tiada sebarang respons yang diberikan oleh Astro.

"Memandangkan notis yang diberikan sebelum ini tiada respons, maka saya bersama waris-waris AR Tompel yang lain akan mengambil tindakan seterusnya.

"Pihak kami akan menjelaskan lebih terperinci berkenaan perkara ini pada sidang media nanti.

"Tambahan pula telefilem itu tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana waris untuk memaparkan kisah ayah saya dan perwatakannya telah dipersembahkan tanpa dirujuk daripada sumber yang sah," tegas Adlin yang akan membuat satu sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) esok (khamis) berkenaan isu tersebut.

Selain Adlin, dalam sidang media itu nanti, waris lain AR Tompel iaitu AR Badul, Amran Tompel serta dua isteri seniman itu, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail akan hadir menjelaskan beberapa isu berbangkit.


Sumber: Mstar


         ________________________




No comments: