09 October 2014

ISU TELEFILEM BIOPIK SALOMA - AZHAN RANI MOHON MAAF PADA WARIS TOMPEL



Jika pengarah dan penerbit telefilem biopik Saloma, Melissa Saila enggan mengulas lanjut mengenai isu saman yang dikemukakan oleh waris Allahyarham AR Tompel kepada Astro, namun pelakon yang memegang watak Tompel pula iaitu Azhan Rani secara tulus hati memohon maaf kepada waris-waris tersebut.

"Sebagai pelakon, saya menghormati wakil-wakil keluarga Allahyarham dan tidak ada niat untuk mencalarkan imej watak yang dibawa. Namun jika tindakan saya sebagai pelakon mencederakan hati mereka, dengan rela hati saya terbuka memohon maaf kepada mereka.

"Tidak sekelumit pun saya mahu buat yang tidak baik tentang arwah. Saya hanya menjalankan tanggungjawab dan ia hanya kapasiti saya sebagai seorang pelakon yang membawa watak arwah sahaja," ujar Azhan dipetik sebagai berkata.

Klik gambar untuk size besar




Tambah Azhan, Sepanjang karienya, dia tidak pernah diseret dengan gosip mahupun kontroversi. Itu yang dia cuba kekalkan selama ini. Namun sudah menjadi asam garam kehidupan artis, jadi dia tidak terkilan sangat bila namanya dikaitkan.

"Saya terima perkara ini dan mohon maaf sekali lagi jika ia mencalarkan hati mana-mana pihak," tambahnya yang mengakui tidak pernah berjumpa dengan mana-mana waris Allahyarham AR Tompel untuk melakukan rujukan atau bertanyakan pendapat mengenai watak yang dibawanya.



"Saya tak jumpa mereka kerana bagi saya cukuplah Melissa Saila sahaja yang membuat rujukan selama enam tahun. Lagipun fokus telefilem ini hanyalah kepada Saloma dan ia berkisar tentang perjalanan hidup Saloma dari kaca mata Mariani," akui Azhan.

"Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ada hitam dan juga putih. Semua orang ada watak hitam, tambahan pula kita hanya manusia biasa. Saya percaya masing-masing tidak suka hal keburukan dipaparkan, namun saya hanya membawa watak itu sahaja. Saya harap orang dapat menerima kisah ini sebagai satu karya seni dan harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya lagi.



Terdahulu, Malissa yang ditemubual media enggan mengulas selagi pihak produksi tidak menerima sebarang dokumen bersabit tuduhan yang dibuat.

Katanya, dia ada mendengar mengenai hal tersebut tetapi dia tidak boleh memberikan sebarang komen kerana buat masa ini notis yang dihantar pihak Adlin merujuk kepada pihak stesen penyiar (Astro) dan bukannya terus kepadanya.



Media sebelum ini melaporkan yang Adlin Aman Ramlie selaku waris Allahyarham AR Tompel telah pun mengambil tindakan awal menerusi peguamnya, Azam & Co dengan menghantar notis kepada Astro agar telefilem itu segera dihentikan namun tiada sebarang respon.

Untuk makluman, Pihak Adlin dan waris AR Tompel bakal mengadakan sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada petang ini (khamis) berkenaan isu tersebut.

Waris lain AR Tompel iaitu AR Badul, Amran Tompel serta dua isteri seniman itu, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail juga dijangkakan bakal hadir.



         ________________________




No comments: