26 November 2014

KES TELEFILEM BIOPIK SALOMA - WARIS TOMPEL GAGAL 'SAMAN'



"Jika hendak saman malu, hanya individu yang dimalukan sahaja boleh mengeluarkan saman itu. Malangnya, dalam kes ini, individu berkenaan telah pun meninggal dunia.

"Biarpun AR Tompel itu adalah ayah saya, namun saya langsung tidak berhak ke atasnya," ujar pelakon dan penerbit Adlin Aman Ramlie yang juga anak seniman Allahyarham AR Tompel.

Ekoran kelonggaran undang-undang itu, keluarganya tidak dapat meneruskan kes saman terhadap produksi dan penerbit telefilem biopik, Saloma.





Untuk makluman, tuntutan kes saman berkenaan diambil sebagai menuntut hak mereka yang tercalar kerana paparan yang menggambarkan karakter dan sikap seniman itu sebagai negatif dan ‘hitam’ dalam telefilem berkenaan. Ia juga disifatkan sebagai berat sebelah, tidak beretika dan menghina semua waris Allahyarham.

"Fasalnya, peruntukan kita terhadap kes-kes yang sebegitu sangat longgar dan oleh sebab itu mereka bagaikan tiada perasaan bersalah menyiarkan telefilem itu," tambahnya yang memberitahu dari segi perundangan tiada akta yang memperuntukkan mengenai tuntutan yang dibuat oleh mereka.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan perkara sama berulang, Adlin menggesa agar Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan peka akan permasalahan ini.



"Saya tidak tahu sama ada pihak kementerian tahu atau tidak mengenai perkara (undang-undang) ini. Jika kementerian tidak tahu, ia wajar diberitahu.

"Kasihan pada mereka yang telah meninggal dunia dan kemudiannya dieksploitasi sehingga meninggalkan kesan negatif kepada penonton.

"Lebih memburukkan lagi, diri sendiri tidak boleh dibela lagi waima anak mereka sekalipun," kata Adlin yang memaklumkan bahawa keluarganya tidak akan sesekali berputus asa untuk terus berjuang.



"Kita masih lagi dalam persediaan. banyak lagi yang perlu dikaji. Saya merujuk kepada beberapa perkara dan saya rasa ia harus diteruskan tidak kiralah mungkin pada satu ketika nanti tiada apa yang boleh membela pihak saya.

"Malah, saya juga sudah menulis surat rasmi kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan bertanyakan apa pandangan dan pendirian mereka mengenai keadaan ini.

"Pada masa sama, saya juga ingin bertanya kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) apabila ada penerbit yang menerbitkan cerita-cerita sebegini tanpa melihat dari segi moral dan etika," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Mengenai perbincangan dengan produksi atau penerbit telefilem berkenaan, Adlin berkata tiada perbincangan yang dibuat di luar mahkamah.

"Mereka mengetepikan apa saja hubungan yang pernah ada dengan saya sama ada saya sebagai artis dengan stesen televisyen atau pun saya sebagai kawan-kawan," jelasnya.

Tambah Adlin, pihak produksi dan penerbit juga tidak pernah memohon maaf kepada mereka sekeluarga berhubung isu berkenaan.



Sumber: Sinar Harian


         ________________________




No comments: