15 December 2014

AL-FATIHAH - MUSTAPHA MAAROF KEMBALI KE RAHMATULLAH



Berita sedih buat peminat filem Melayu lama apabila seniman berbakat besar Datuk Mustapha Maarof kembali ke rahmatullah kira-kira jam 8.30 pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera, Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Selangor iaitu berdekatan pusara isterinya, seniwati Roseyatimah.

Untuk info, Allahyarham meninggal dunia dalam usia 79 tahun.

Sebelum ini pada 25 November Allahyarham telah dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kesukaran bernafas akibat komplikasi masalah paru-paru. Bagaimanapun, Allahyarham kemudian telah dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 2 Disember lalu.





Ketika mendapatkan rawatan susulan itu, keluarga Allahyarham diberitahu bahawa keadaannya agak kritikal akibat paru-parunya rosak teruk. Malah keadaan Allahyarham ketika rawatan juga sangat tidak stabil dan memerlukan alat bantuan pernafasan 100 peratus.

Dilahirkan pada 1 Januari 1935, hero legenda ini cukup terkenal dengan lakonannya sebagai tunggak utama di dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Keris Sempena Riau, Sumpah Pontianak dan banyak lagi.



Allahyarham menjejakkan kaki ke Cathay Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.

Mustapha mula mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan merupakan antara pelakon lelaki kacak yang menjadi pujaan ramai ketika itu.



Antara yang terbaru, seniman lagenda ini telah membintangi filem 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada tahun (2009).

Berasal dari di Kuala Lumpur, Allahyarham Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azahari Maarof pernah menerima Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.



Isterinya, Allahyarham Roseyatimah telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah pada 14 Disember 1987.

Seniman negara ini meninggalkan tiga anak, menantu dan tujuh cucu.

Mari kita sama-sama doakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.



         ________________________




No comments: