03 December 2014

BUAT LAPORAN POLIS - ROZANA MISBUN DAKWA SIJIL NIKAH PALSU



Rozana Misbun isteri kepada Awie, 46, mendakwa sijil nikah mereka yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 2005 adalah palsu.

Berhubung perkara tersebut, Rozana yang ditemani peguamnya iaitu Nor Azmi Mohd Arif telah membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth sekitar pukul 3.30 petang semalam, selepas mendapatkan khidmat nasihat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di Butterworth.





Peguam Nor Azmi berkata, tujuan mereka ke sana adalah kerana ingin mendapatkan pengesahan berhubung surat perakuan nikah yang diragui kesahihannya itu agar satu siasatan lanjut dapat dilakukan.

"Ini berkait dengan kes yang difailkan dan dokumen itu digunakan di mahkamah. Dokumen itu tidak betul dan diragui. Kami sudahreferdan pihak polis hendak tentukan dokumen yang kita ragui supaya boleh diambil tindakan terhadap orang yang keluarkan dokumen itu," ujar Nor Azmi dipetik sebagai berkata.



Menurutnya lagi, ketiadaan pengesahan dokumen berkenaan menyukarkan anak guamnya untuk berurusan mengenai kes-kes berkaitan hak penjagaan anak yang telah difailkan sebelum ini.

Terdahulu, Rozana mendakwa surat perakuan nikah yang dikemukakan Awie tidak terdapat dalam semakan status daftar perkahwinan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk orang Islam negeri itu.



Pada 22 Julai lalu, Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak hasil perkahwinan dengan Rozana daripada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang pada 4 Julai atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Rozana di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun lalu.


         ________________________




No comments: