05 March 2015

MESKIPUN DITIPU PENGURUS - TEGAR TETAP AKAN BERAKSI DI IB



Satu jaminan telah diberikan oleh pengurus Tegar di Indonesia bahawa penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Ku Yang Dulu, Bukanlah Yang Sekarang' itu akan beraksi di Istana Budaya pada konsert Muzika Nusantara yang bakal berlangsung 13 dan 14 Mac ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah mengundang penyanyi Indonesia Tegar mengadakan persembahan pada konsert itu.

Tambahnya, walaupun Tegar terlibat dengan isu pasport dan penipuan pengurusnya baru-baru ini, tetapi ia tidak menjejaskan penglibatannya.





"Pihak kami telah berhubung dengan pengurusnya di Indonesia berhubungan perkara itu.

"Sehingga kini kami diberitahu, Tegar tidak mempunyai masalah untuk turut serta mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB) nanti," ujarnya yang yakin kemunculan penyanyi berusia 13 tahun itu pastinya dinantikan peminat di Malaysia.

"Selain jaminan diberikan oleh pihak mereka mengenai kehadiran Tegar, saya yakin dia pasti tidak mahu menghampakan peminatnya di sini," katanya.



Jelas Mohamed Juhari lagi, penglibatan Tegar sewaktu di Muzikal Sirah Junjungan yang diadakan di IB sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya lihat dia mempunyai aura yang istimewa selain bakat yang ada dalam dirinya.

"Ini adalah satu inisiatif terbaik untuknya mengembangkan lagi bakat di negara ini," katanya sambil menjelaskan menerusi Muzika Nusantara nanti, Tegar bakal mempersembahkan dua buah lagu.

Selain Tegar, artis lain yang turut menjayakan konsert tersebut ialah Datuk Siti Nurhaliza, Dwen, Kris Dayanti dan penyair Indonesia Rafli Kande.



Sumber: SH


         ________________________




No comments: