08 August 2015

ADA PENDARAHAN DALAM USUS - HAZAMI DIMASUKKAN KE HOSPITAL



Selepas hampir tiga tahun memperlahankan rentak kerjaya seni, penyanyi dan komposer Hazami dilihat seperti cuba menghilangkan diri.

Malah keadaan terkini Hazami yang dilihat baru-baru ini ketika berkunjung ke Balai Berita dengan keadaan berat badannya yang kian menyusut serta nampak cengkung mula menimbulkan pelbagai andaian termasuk yang mengatakan beliau sebenarnya sedang sakit.

Tetapi dalam temubual yang dijalankan Hazami, penyanyi lagu Sonata Musim Salju itu menafikan dirinya sedang sakit. Tetapi mengamalkan diet hingga berat badannya menyusut dari 72 kilogram menjadi 52 kilogram.

Klik gambar untuk size besar




Barangkali ketika itu Hazami mahu menyembunyikan penyakit yang dihidapinya sekali gus tidak mahu menimbulkan kebimbangan kepada sesiapa yang mengenalinya.

Bagaimanapun Aszuad Zakaria yang menguruskan kerjaya seninya memaklumkan bahawa Hazami sedang berperang dengan kesakitan yang cukup teruk akibat pendarahan dalam usus dan terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana sejak malam kelmarin.

"Hazami semalam tiba-tiba mengadu sakit di bahagian perut. Apabila tiba di hospital untuk pemeriksaan, doktor yang memeriksanya memberitahu bahawa dalam bahagian ususnya, banyak kantung darah dan ada yang sudah pecah. Doktor tersebut mengesahkan bahawa dia menghidap penyakit Diverticular Disease ini," kata pengurusnya.

Diverticular Disease merupakan penyakit yang boleh muncul dalam bentuk kantung-kantung kecil di dinding usus, dan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu diverticulosis, diverticular bleeding dan diverticulitis.

Namun abang Hazami, Azhari Ahmad mewakili adiknya itu untuk berkongsi serba sedikit cerita dan keadaan terkini penyanyi berusia 40 tahun itu.

"Dia mula mengadu sakit perut dan mahu ke klinik untuk mendapatkan rawatan sejak semalam. Tetapi ketika itu dia menghubungi kawannya untuk membawanya ke klinik. Sebelum ke klinik pun, dia sudah pitam. Sekali lagi dia pitam di klinik dan doktor meminta penyakitnya itu dirujuk kepada pihak hospital. Pada sebelah malamnya, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

"Saya sudah lama melihat keadaannya yang cepat penat dan berat badan menyusut. Tapi dia cuba menyembunyikan perkara sebenar. Saya sendiri pernah mengidap penyakit yang sama. Malah arwah bapa kami pun meninggal kerana penyakit itu.

"Sepanjang melihat adik saya, dia jenis akan sakit perut selepas makan. Mungkin itu juga sebab dia jadi kurus sekalipun berselera makan. Mujur dia tak degil seperti arwah bapa kami yang makan tak menentu," ujar Azhari dipetik sebagai berkata.

Menurut Azhari, doktor memberitahu mereka terpaksa memasukkan kamera di dalam mulut dan punggung Hazami untuk melihat apa yang tersimpan di dalam ususnya.

"Memang usus dia berdarah. Doktor pun memberitahu ususnya berkemungkinan ada benda yang berpotensi menyumbang ke arah penyakit kanser. Memang kena buat benda yang tersekat dalam ususnya itu. Ketika ini, keadaannya belum stabil sepenuhnya. Tadi dia okey, kemudian dia demam pula," jelasnya Azhari.

Hazami sepatutnya mengeluarkan single terbaharu dalam masa terdekat tetapi terbantut kerana apa yang dilaluinya kini.

Sumber: BH & MH



         ________________________




No comments: