14 September 2015

SOAL KAHWIN - DYNAS MOKTHAR ANGGAP MASIH TERLALU AWAL



Semua sedia maklum bahawa Dynas Mokthar kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan teman lamanya semasa zaman persekolahannya.

Malah di laman Instagram, pelakon dan pengacara tinggi lampai itu tak lokek berkongsi gambarnya dengan jejaka kacak itu. Saat ini juga Dynas dan lelaki yang dikenali dengan huruf pangkal S begitu terbuka berkongsi hubungan mereka di laman sosial.

Walaupun Dynas sudah mengenali S beberapa bulan lalu, namun beliau masih belum memikirkan untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya kerana merasakan ia terlalu awal untuk dibicarakan.

Klik gambar untuk size besar




Ini kerana menurut Dynas, hubungan mereka masih lagi baharu meskipun bersikap terbuka kepada umum mengenai percintaan mereka.

"Kalau dia terbuka mengenai hubungan kami, saya OK saja. Kami rapat. Perhubungan kami terjalin dalam tempoh yang masih baharu. Daripada kawan tiba-tiba jadi rapat. Tapi saat ini, soal nak kahwin belum terfikir lagi. Masih awal untuk menebak semuanya," ujar Dynas dipetik sebagai berkata.

Sesibuk mana pun Dynas, rutinnya sebagai ibu tak pernah diabaikan. Perkahwinan yang dibinanya bersama Hafizy Hafiz pada 15 Mac 2008 terlerai juga secara rasmi pada 25 Februari tahun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



Dynas dan bekas suaminya kini bergilir-gilir menjaga dua orang anak mereka, Khyra Khalyssa (5) dan Mohamed Haqaish (3).

"Hari sekolah kebiasaannya anak saya dengan bapa mereka. Saya selalunya akan bersama anak pada hujung minggu. Jadual giliran itu boleh berubah ikut kelapangan masa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dynas kini terus meneroka pasaran perniagaan baharu dengan membuka restoran makanan sihat di Publika, Solaris Dutamas bernama EatWithMune.



Dynas sebelum ini mengusahakan perniagaan kelengkapan ibu mengandung di bawah nama Dynas Nursing Attire. Sebelum ini, restoran sama pernah beroperasi di Solaris Mont Kiara tetapi sudah menamatkan operasinya.

Difahamkan, Dynas mengusahakan perniagaan itu bersama rakan kongsi yang juga pernah menjadi jurulatih kecergasannya di gimnasium, dikenali dengan nama Mune atau Mughniy. Perniagaan makanan sihat di Malaysia bukan sesuatu yang asing dan saban tahun semakin diterima ramai apabila ramai dalam kalangan masyarakat kita memilih untuk hidup sihat.

"Saya mula tertarik dengan konsep EatWithMune (ketika itu beroperasi di Solaris Mont Kiara) sekitar lima atau enam bulan lalu. Kebetulan pusat gimnasium yang saya berlatih berdekatan dengan kedai berkenaan. Kebetulan kali pertama pergi, Mune ada di kedai. Dia banyak bercerita mengenai konsep kedai makan itu. Saya tertarik dengan apa yang cuba disampaikannya.

"Ia termasuk cerita lama dia berbadan gempal... cara dia memotivasikan orang lain termasuk memperkenalkan konsep kedai makan sebegitu. Dia memberi inspirasi untuk saya tampil sihat atau kurus seperti yang diusahakannya selama ini. Malah dalam perjalanan untuk tampil sihat dan kurus seperti hari ini, dia juga pernah melalui fasa lemah semangat," jelasnya.

Dynas berkata, restoran itu yang diusahakan dengan Mune berbekalkan modal sekitar RM200,000. Malah kerana Mune juga, pelakon itu yang terkenal menerusi drama 'Susuk' di TV3 itu, terangsang untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat.


Sumber: BH



         ________________________




No comments: