16 November 2015

AKUI SERIK - IKA NABELLA NEKAD TARIK DIRI



Akui sudah merasa serik untuk bekerjasama dengan pengarah, Azma Aizal Yusoof, Ika Nabella, 26, nekad menarik diri daripada penggambaran drama 'Dawai Asmara' terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.





Menurut Ika, dia membuat keputusan itu beberapa hari selepas insiden dipukul serta ditumbuk bertubi-tubi sehingga mendatangkan kecederaan hanya kerana tidak dapat menjiwai watak dalam lakonannya yang berlaku pada Isnin, 2 November lalu.

Meskipun pihak produksi cuba untuk memujuk Ika mempertimbangkan keputusan berkenaan, namun Ika tetap dengan pendiriannya itu.

Pihak produksi bagaimanapun terpaksa akur dengan permintaan Ika yang sudah trauma selepas apa yang terjadi kepadanya.



"Ikutkan kami sudah dua kali bekerjasama sebelum ini. Ketika itu tak ada sebarang masalah. Malah, pembabitan saya menerusi drama ini adalah atas permintaannya. Tak sangka lain pula yang jadi. Memang terkejut dibuatnya. Buat masa sekarang, saya belum sedia berjumpa atau bekerjasama dengannya. Akan datang, tak tahu lagi macam mana.

"Selepas membuat laporan polis tempoh hari, saya sudah menyatakan hasrat menarik diri, tetapi pihak penerbit meminta saya mempertimbangkan keputusan itu. Namun, selepas berfikir banyak kali saya tetap dengan pendirian. Mereka juga tak menghalang. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik tambahan pula saya masih trauma dengan kejadian itu," ujar Ika dipetik sebagai berkata.

Tambah Ika, pihak polis sudah mendapat keputusan selepas melakukan beberapa siasatan secara terperinci. Walaubagaimanapun, Ika buat masa ini enggan mendedahkan ia dengan lebih lanjut dan menyerahkan segala hal kepada pihak berkuasa.



Sepanjang tujuh tahun berlakon, Ika berkata yang dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di lokasi sebaliknya memberikan sepenuh komitmen.

"Apa yang berlaku saya anggap sejarah hitam sepanjang bergelar anak seni. Ia menjadi pengajaran agar saya lebih berhati-hati. Salah atau tidak seseorang itu, tidak wajar menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan," jelasnya

Pada masa yang sama, Ika juga nafi cuba untuk mencari publisiti murahan dan menyalahkan Azma sedangkan masalah itu berpunca daripada beliau. Jelas Ika, tindakan beliau yang membuat laporan polis kerana ingin mempertahankan dirinya dan menjadi pengajaran kepada orang lain agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.



         ________________________




No comments: