27 November 2015

"ANAK ADALAH PENGKRITIK UTAMA BAGI SAYA" - SITI NORDIANA



Semua mengetahui bahawa Siti Nordiana atau Nana merupakan peserta yang sangat konsisten dan sering berada di kedudukan yang teratas di dalam Gegar Vaganza 2 (GV2).

Ketika di awal program, nama Siti Nordiana bukanlah calon pilihan ke peringkat final GV2. Dia boleh dikatakan sebagai peserta 'underdog'.





Namun sehingga kini, Nana telah berjaya melangkah sehingga minggu yang ketujuh dan hanya dua minggu sahaja lagi untuk ke peringkat final.

Persembahan Nana hari demi hari semakin mengagumkan malah yang paling penting Nana bukan sahaja berjaya menarik hati juri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang menonton program tersebut.

"Saya tahu ada yang anggap saya sebagai peserta 'underdog' tetapi saya tak kisah fasal hal itu malah lagi bagus sebab tak ada tekanan. Tak adalah berat bahu saya," ujarnya sambil ketawa.



Pun begitu, selepas menyanyikan lagu Ziana Zain, namanya terus melonjak naik. Nana memberitahu yang selama ini dia tidak pernah menyanyi dalam program-program TV yang besar seperti ini. Jadi ini kali pertama.

"Syukur Alhamdulilah, saya cuba buat yang terbaik. Segala usaha nampaknya berbaloi. Memang jika boleh harapan semua orang nak ke peringkat final, begitulah Nana juga," jelasnya.

Ibu tunggal ini turut memberitahu bahawa anaknya Rayyan Nakhaie, 7, merupakan pengkritik utama setiap kali dia menyanyi.

"Pernah saya berlatih menyanyi dan saya ubah sikit-sikit dia akan kata, mama jangan ubah nanti peminat mama tak suka. Dia pun sangat prihatin dengan saya. Kalau dia tak ikut ke dewan, dia akan bagi voicenote, good luck mama. Ya dia pemberi semangat bagi saya," katanya.

Semoga Nana dapat memberikan yang terbaik sehingga final.



         ________________________




No comments: