27 November 2015

"SYUKUR BAPA SAYA DIPENJARA 31 TAHUN" - UMMI NAZEERA



Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, yang merupakan ahli perniagaan dan juga bapa kepada pelakon Ummi Nazeera dijatuhkan hukuman penjara 31 tahun oleh Hakim Norsharidah Awang setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.





Zainulabadin didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen berhubung surat peletakan jawatan dan pemindahan saham milik isteri keduanya, sembilan tahun lepas.

Tertuduh, yang diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Ini bermakna tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.



Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai namun menaikkan wang jaminan daripada RM200,000 kepada RM250,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 10, Zainulabadin didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi beberapa dokumen bagi memindah milik 1.68 juta unit saham syarikat Mutiara Efektif (M) Sdn.Bhd., daripada Datuk Maziah Musa, 51, selaku pemberi pindah milik, kepada anak tertuduh, Ahmad Fikhri.

Selain itu, dia juga dituduh menggunakan dokumen palsu untuk melantik anaknya, Ahmad Fikhri dan Nor A’khilah sebagai pengarah syarikat B.TIS Manufacturer Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Indah Secretarial Management, 18-1, Jalan 15/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, dekat sini, antara Dis 2006 dan Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman, Norsharidah berkata keterangan ahli kimia kerajaan telah mengesahkan antara tulisan dan spesimen tanda tangan pengadu (Maziash) dalam kesemua dokumen yang dipertikaikan telah dipalsukan.

Beliau menyifatkan kes itu berlaku disebabkan masalah keluarga yang bersifat tamak dan dendam.

Terdahulu, Maziah memberitahu mahkamah bahawa kesan daripada tindakan tertuduh menyebabkan beliau hilang hak sebagai pengarah dan juga pemegang saham bagi syarikat tersebut.

Sejurus mendengar keputusan mahkamah, Maziah tidak dapat menahan sebak dan terus memeluk Ummi Nazeera dan anak lelakinya, Ahmad Nazreem yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya sehingga kes selesai.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Ummi Nazeera memberitahu pemberita beliau bersyukur dengan keputusan tersebut dan menyatakan segala keperitan ibunya telah berakhir.

“Saya mengagumi ibu saya yang begitu tabah melalui segalanya. Saya dan abang saya sentiasa di belakang ibu saya,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri popular, Nur Kasih dan filem Hikayat Merong Mahawangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria.

Sebanyak 13 saksi pendakwaan dan 13 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.



         ________________________




No comments: