01 January 2016

ISTERI SELAMAT BERSALIN - SYAFIQ YUSOF DIKURNIA 'BABY GIRL'



Aeisha Zainal, 23, isteri kepada Syafiq Yusof, 24, iaitu adik kepada Syamsul Yusof dan juga merupakan pengarah paling muda, telah selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 1.56 petang tadi di Hospital Colombia Setapak, Kuala Lumpur.

Bayi seberat 3.6 kg itu telah diberi nama Nuur Jannah yang membawa maksud cahaya syurga.





Menurut Syafiq, beliau tidak pernah pun merancang untuk menyambut anak sulung pada tahun baharu.

"Bagi saya ia hanya berlaku secara kebetulan. Isteri saya sebenarnya sudah berada di hospital sejak semalam, bagaimanapun beliau nampaknya bersalin pada hari ini, yang kebetulan jatuh pada 1 Januari.

"Apa pun, saya tetap bersyukur apabila bayi kami dilahirkan pada tarikh istimewa ini. Setidak-tidaknya ia mudah untuk diingati," ujar Syafiq sambil memberitahu, isteri dan anaknya berada dalam keadaan baik.



Dalam pada itu, Syafiq turut memaklumkan, penggambaran filem terbaharunya, Abang Long Fadil 2, terpaksa dihentikan buat beberapa hari.

"Sebenarnya saya masih sibuk dengan penggambaran filem 'Abang Long Fadil 2' yang pada awalnya dijangka selesai dalam tempoh empat atau lima hari lagi.

Namun, saya terpaksa mengambil cuti dua hari untuk menguruskan isteri dan anak. Saya akan kembali ke set penggambaran pada Ahad ini bagi menghabiskan lima peratus babak tertangguh," katanya.

Syafiq mula mencipta nama dalam bidang pengarahan pada usia 18 tahun lagi. Beliau pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Pengarah Termuda selain diangkat sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem SAM: Saya Amat Mencintaimu (2012).

Karya ketiganya, Villa Nabila, pula mendapat pengiktirafan luar apabila dipertontonkan pada Festival Filem Fantastik Antarabangsa Catalonia - Sitges 2015 di Barcelona, Sepanyol, pada 9 Oktober lalu.

Selain 'Abang Long Fadil 2', tiga lagi filemnya yang menunggu untuk ditayangkan ialah 'Mat Moto', 'Desolasi' dan 'Lagenda Long Piah'.

Untuk rekod, Syafiq dan Aeisha mendirikan rumah tangga mereka pada April 2014.

Tahniah kami ucapkan!


Sumber: BH



         ________________________




No comments: