12 January 2016

KONSERT MEGA GEGAR VAGANZA: MAMAT EXIST BUKAN MENGHILANG



Buat julung kalinya, Astro bakal mengadakan 'Konsert Mega Gegar Vaganza' di Istana Budaya pada 15-17 Januari ini, menggabungkan peserta daripada musim pertama dan kedua.

Secara keseluruhan seramai 13 peserta GV akan muncul untuk setiap malam persembahan tersebut berlangsung iaitu pada 15 - 17 Januari ini.





Namun konsert ini adalah tanpa kemunculan bintang GV1 Mamat Exist. Ini kerana pihak Astro gagal menghubungi Mamat untuk turut serta dalam konsert tersebut.

Bagaimanapun, Mamat telah tampil dan memberitahu bahawa beliau tidak pernah menghilangkan diri cuma nombor telefon beliau sudah tidak lagi aktif dan ia salah satu sebab mengapa beliau tidak dapat dihubungi.

"Saya bukan menghilangkan diri atau berhenti daripada menyanyi apabila ramai yang gagal menghubungi saya.



"Semuanya kerana nombor telefon saya tidak lagi aktif selepas tidak gunakan selama enam bulan," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Pemilik nama sebenar Mohd Ali Kamarudin, 38, juga berharap beliau masih diberikan peluang untuk turut serta dalam konsert berkenaan.

"Rasanya masih sempat kalau mereka panggil saya kerana ini mungkin platform terbaik saya untuk kembali aktif.



"Nyanyian sudah sebati dalam diri saya dan tahun ini, mungkin pertengahan tahun saya akan keluarkan single yang sudah dirakamkan, tetapi belum ada judulnya," jelasnya.

Mamat sebelum ini memenangi tempat ketiga pada edisi pertama dan membawa pulang wang tunai RM15,000 sebelum dipenjara enam bulan pada Mac tahun lalu atas kesalahan gagal melaporkan diri di balai polis dalam tempoh pengawasan.

Mamat bagamanpun telah dibebaskan pada Oktober tahun lalu dan kini tinggal bersama keluarga beliau di Johor.

"Saya kini tinggal bersama keluarga di Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor dan terbabit dengan pelbagai program termasuk dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Dalam pada itu, abang sulungnya Nor Kamarudin, 50, berkata, walaupun ramai yang berkata buruk mengenai adiknya, mereka sekeluarga sentiasa memberi sokongan dari segi kerjaya dan peribadi penyanyi itu.

"Apa pun orang cakap itu hak mereka kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku dan tidak faham apa yang Mamat hadapi.

"Ramai yang masih mahu melihat Mamat di pentas nyanyian kerana itu juga adalah bidang dia, rezeki dia, dan kami (keluarga) akan hantar dia jika menerima jemputan membuat persembahan," katanya.

Beliau juga berharap agar peminat sentiasa memberi sokongan kepada adiknya itu yang kini beransur pulih daripada ketagihan dadah.


Sumber: HM



         ________________________




No comments: