12 February 2016

GITAR BERKECAI - TITIK PERALIHAN AZMIL MUSTAPHA



Azmil Mustapha yang menyerahkan seluruh kehidupan ke jalan yang diredai Allah itu, ternyata transisi daripada seorang aktor popular yang kemudiannya bergelar penceramah bebas tidak menghakis sikap ramah dan kemesraannya.

Hanya dengan secarik senyuman di bibirnya, lelaki berjanggut putih dengan persalinan juga serba putih itu cepat menangkap deria emosi, mengembalikan ingatan saat titik peralihannya.





Azmil berkongsi memori bagaimana perkenalan beliau dengan seorang pemandu teksi New York, Amerika Syarikat (AS) yang menghantarnya ke masjid sebagai titik penting penghijrahan beliau kini, Azmil memperincikan kisah lampau tersebut dengan impak senaskhah al-Quran berserta terjemahan bahasa Inggeris, dihadiahkan seorang hamba Allah kepadanya.

"Selepas baca terjemahan al-Quran tersebut, saya yang kosong ilmu agama mula menyedari tentang kehebatan isi kandungannya tetapi perubahan itu tidaklah drastik, balik dari AS saya masih buat kerja seni," ujarnya yang pernah menang anugerah 'Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia' menerusi filem 'Ali Setan'.

Banyak perkara berlaku dalam hidup Azmil. Selain jatuh miskin, hilang pendapatan dan bercerai, sebuah insiden yang disifatkan beliau petanda agar meneruskan pencarian ke jalan Ilahi apabila gitar kesayangan yang dibeli di AS berkecai akibat jatuh ditiup angin.



Pernah suatu ketika, beliau juga harus membatalkan sebuah projek filem tentang seorang pendakwah di Afrika Selatan walaupun telah dijanjikan bajet jutaan ringgit.

"Saya banyak terima tawaran dalam bidang seni tapi saya tolak sebab saya tahu isi dan kerenah dunia hiburan. Saya takut terpesona lebih kepada imbuhan wang berbanding mesej yang hendak disampaikan," jelasnya.

Mengenai kesihatannya terkini, kata Azmil, tahap kesihatan beliau semakin baik biarpun masih tampak keletihan. Tambah Azmil, gara-gara sakit, beliau sudah berbulan-bulan terpaksa menolak ajakan ceramah dan beberapa jadual ke luar negara.

Sampai ketika ini, Azmil juga belum tahu sehingga bila beliau akan berehat. Bagi meredakan kebuntuan atau barangkali menghilangkan bosan terperap di rumah, beliau sudah mempersiapkan sebuah skuter elektrik untuk memudahkan perjalanan jika hendak ke masjid atau kedai berhampiran tempat tinggalnya.

Semoga Azmil kembali sihat seperti sediakala dan terus menaburkan mutiara bermakna untuk dikongsikan kepada peminat dan pendengar ceramahnya selama ini.


Sumber: Kosmo



         ________________________





No comments: