15 April 2016

45 TAHUN 'BUTA' AL-QURAN - ROSYAM NOR AKHIRNYA KHATAM DEPAN KAABAH



"Saya baru tahu selama 45 tahun usia saya ini, saya baca ‘bismillah’ pun salah," demikian pengakuan jujur pengarah dan pelakon terkenal Rosyam Nor.

Katanya meskipun dia kini merupakan Ikon Rumah Ngaji, namun dia tidak malu mengakui bahawa dia tidak pandai mengaji sehingga usianya 45 tahun. Apa yang dia tahu hanyalah tiga surah iaitu al-Fatihah, an-Nas dan al-Ikhlas.

"Saya tak malu mengaku ini di hadapan anda semua. Biarlah saya malu dengan anda daripada saya malu dengan ALLAH SWT,” katanya pada perkongsian majlis Ke Arah Kukuhkan Organisasi Dengan al-Quran di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di Kuala Lumpur, kelmarin.





Tambah aktor itu, walaupun dia telah diberikan segalanya oleh Allah SWT, namun di saat kehilangan ayahnya, beliau menyedari bahawa beliau tidak pandai mengaji.

"Ketika ini saya rasa seorang Rosyam Nor tertunduk malu dan sedih sebab tidak tahu mengaji.

"Kadang-kadang bila jadi imam di rumah, anak-anak saya pun tahu surah apa saya akan baca. Sebab itu saya tak berlakon cerita agama," akuinya yang telah lama memasang angan-angan untuk belajar mengaji dan ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2, akhirnya hidayah hadir melalui seorang ustaz.



"Semasa penggambaran itu, ada seorang insan muncul dan pada awalnya saya anggap beliau hanya seorang peminat biasa. Kemudian beliau minta nombor telefon dan setiap minggu beliau hubungi saya ajak berjumpa.

"Selama empat bulan beliau hubungi saya sampai saya rimas dan bersetuju untuk bertemu di kawasan rumah saya," cerita Rosyam yang akhirnya mengaku tidak pandai mengaji kepada ustaz berkenaan.

Bagaimanapun, Rosyam memberi syarat pada ustaz itu agar jangan memberitahu pada orang lain, kerana dia rasa malu.

"Ini masalah paling besar bila dah tua. Tapi jangan kita malu. Alhamdulillah usia 45 tahun saya mula belajar mengaji semula dengan alif, ba, ta,” tambahnya.

Berkat usaha tanpa jemu itu, akhirnya ketika usia Rosyam 48 tahun, dia berjaya khatam al-Quran di hadapan Kaabah.


Sumber: Sinar Harian- Foto: myartis.com



         ________________________





No comments: