21 April 2016

ALI XPDC TENANG SETELAH BERHIJRAH



Mungkin sekali pandang, kita tidak mengenali lelaki berusia 48 tahun ini yang kelihatan jauh berbeza berbanding dahulu. Dia kini memakai jubah hitam, berserban dan berjanggut serta tutur katanya juga lembut.

Itulah yang berlaku kepada Ali XPDC atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Ismail yang sudah berhijrah sejak lima tahun lalu. Dia kini yang kerap dijemput untuk menghadiri majlis agama, tidak pula melupakan minatnya terhadap muzik.





"Kehidupan saya sama seperti dahulu. Masih lagi menyanyi dan bermain muzik. Cuma, masa yang ada lebih digunakan untuk berdakwah dan mengikuti kelas agama. Saya juga sering dijemput oleh ustaz-ustaz untuk bercerita tentang kisah hidup saya menerusi majlis-majlis agama," ujarnya.

Untuk info, sekitar tahun 2011, ketika usia Ali memasuki 40 tahun, perasaan bimbang mula muncul dalam diri. Apabila melihat anak-anak membesar, dia sering bertanya pada diri, sampai bila dia perlu hidup dalam kehidupan dengan amalan yang tidak mencukupi?



Sejak itu, secara perlahan-lahan, dia mula mencari suasana baharu dan berubah ke jalan yang lebih diredai.

"Alhamdulillah, saya lebih tenang dan istiqamah sehingga hari ini.

"Sejak mendalami ilmu agama, saya kerap menyarungkan jubah. Mengenakan jubah dan membela janggut merupakan sunah, jadi perkara yang elok seharusnya diamalkan.



"Setakat ini, peminat memberikan maklum balas positif. Sebagai contoh, sewaktu dijemput untuk membuat persembahan pada sebuah konsert di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, saya mengenakan jubah sambil menyanyikan lagu-lagu berentak rock.

"Walaupun tidak agresif, namun saya menerima komen yang memberangsangkan daripada peminat. Lebih menggembirakan, ramai yang meminta saya untuk kekal dengan imej sebegini," tambahnya yang pernah dinasihati oleh seorang ustaz agar tidak berhenti menyanyi.




Sumber: Kosmo


         ________________________





No comments: