"Saya mengakui kejadian yang berlaku tiada sebab lain kecuali atas kecuaian dan sikap tidak matang diri sendiri.
"Saya juga sedar tindakan itu boleh memberi pengaruh negatif kepada umum, terutama golongan generasi muda, dan saya amat menyesalinya. Dengan itu, saya reda dan bersedia untuk menerima hukuman yang mungkin dijatuhkan sekiranya disabitkan dengan kesalahan," demikian kata Tony Eusoff menerusi Facebook miliknya.
Malah Tony Eusoff juga sedar perbuatannya memiliki dadah campuran ganja boleh memberi kesan buruk kepada peminat, terutama golongan muda.
Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 38, bagaimanapun reda dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku selepas didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A, Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.
Pelakon kelahiran Sarawak itu didakwa memiliki paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja.
Foto: Tony FB
Beliau didakwa memiliki bahan terlarang itu di balai ketibaan bas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu. Jika disabit kesalahan, Tony akan dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$20,000 (RM57,622) atau kedua-duanya sekali.
"Saya berjanji atas nama Tuhan tidak akan persiakan peluang yang ada. Hikmah daripada kejadian ini, saya mahu manfaatkan untuk bertaubat serta membetulkan diri ini demi keluarga, rakan dan peminat yang disayangi. Doakan saya," tambah Tony
Sementara itu, pelakon dan penerbit, Datin Seri Tiara Jacquelina yang merupakan rakan baik Tony turut memberi kata-kata semangat menerusi akaun Instagram miliknya.
"Selamat hari lahir Tony. Kamu seorang pelakon yang berdisiplin dan rendah diri serta boleh diharap tanpa perlu bersikap Diva.
"Bukan senang untuk seseorang mengaku kesalahannya dan saya bangga dengan kenyataan yang kamu beri. Saya tak boleh bayangkan perasaan kamu sekarang, tetapi saya tahu kamu menyesal dengan apa yang terjadi. Saya doakan kamu yang terbaik," ujarnya.
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment