03 April 2016

'TERBANG' LAGI - LANA NODIN AKAN BERPUASA & BERAYA DI LUAR NEGARA



Lana Nodin yang sudah habis berpantang akan 'terbang' sekali lagi ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikuti suaminya, Mohd Daud McKienzie yang terikat dengan liga sukan bola tampar.

Kata Lana, dia mungkin tidak dapat menyambut Ramadan dan Syawal kerana dia akan berada di luar negara sehingga Oktober depan.

Ini kerana kata Lana, suaminya itu perlu mengikuti perlawanan bola tampar di beberapa lokasi di AS seperti San Francisco, New York, Chicago selain Brazil, China dan Russia.





Difahamkan, Lana dan suami termasuk bayi kesayangan mereka, Gia Quinn McKienzie dijangka berangkat ke negara Uncle Sam itu, Isnin ini.

"Suami terikat dengan komitmen perlawanan bola tamparnya. Berkemungkinan besar saya akan berada di luar negara sehingga Oktober depan.

"Dalam keadaan ini, hendak pulang menyambut Aidilfitri, suami beritahu, dia hanya diberi cuti empat hari. Jadi, memang tak boleh pulang ke Malaysia di mana perjalanan saja mengambil masa sehari.



"Sebenarnya, besar hati saya nak beraya di Malaysia. Iyalah, dengan kehadiran Gia, saya nak merasai keseronokan beraya di sini. Sudah tentu saudara-mara dan adik-beradik mahu berjumpa Gia.

"Namun, apakan daya, komitmen sukan Daud perlu diutamakan. Suami juga tidak sanggup membiarkan kami dua beranak ditinggalkan tanpanya di sisi," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Mengenai anaknya pula, Lana dan suaminya belum berhasrat mendedahkan wajah anak mereka dalam media massa. Namun, Lana menimbang memperkenalkan Gia di laman Instagram miliknya.

Lana berkata, dia perlu menimbang banyak faktor termasuk kehidupan peribadi mereka sekeluarga.

"Tengoklah macam mana. Mungkin selepas Gia membesar dan saya berada di luar negara, saya akan muat naik gambar Gia di laman Instagram.

"Saya ada terfikir membuka akaun Instagram peribadi anak kami seperti dilakukan beberapa selebriti lain, tapi Daud tidak benarkan. Saya kena pujuk suamilah.

"Saya rasa, jika betul caranya, Instagram peribadi Gia mungkin akan memberi faedah dan manfaat sendiri. Siapa tahu jika ada yang mahu menaja keperluan bayi untuknya," jelasnya.

Ditanya mengenai dunia lakonan, Lana yang kali terakhir muncul dengan filem Biasan, tahun lalu, berkata yang dia rindu untuk berlakon. Namun, dengan kehadiran Gia selain perlu sentiasa berada di sisi suami, hasrat kembali ke lokasi penggambaran terpaksa dilupakan.

"Apatah lagi saya tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Semuanya diuruskan sendiri. Emak saya ada datang membantu ketika berpantang. Saya lakukan sendiri amalan bertanggas dan bertungku tanpa bantuan sesiapa ketika berpantang," katanya yang pernah membintangi drama 'Ajaibnya Cinta' arahan Erma Fatima siaran TV3, tahun lalu.

Dalam pada itu, Lana berkata yang dia tidak sangka babak lafaz iqamat jadi viral. Lana masih tidak dapat melupakan detik indah ketika suami membacakan iqamat di telinga Gia ketika bayi mereka dilahirkan.

Lana memberitahu, Daud membacakan Iqamat sebanyak dua kali iaitu selepas Gia dilahir dan dimandikan. Malah, katanya, Daud cuba sehabis boleh untuk menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dan suami mengikut syariat Islam.

"Saya lihat, babak suami melafazkan iqamat di telinga Gia ditonton lebih 200,000 orang di laman Instagram. Saya mendapat tahu, ia menjadi viral dan diperkatakan netizen. Saya amat syahdu ketika itu.

Sebelum ini, suami pernah belajar menghafaz surah al-Fatihah dan terbaharu, iqamat pula. Saya beritahu suami pastikan dia faham maksud surah yang dibaca, bukan sekadar menghafaznya semata-mata," ujarnya.

Lana juga memberitahu yang suaminya itu 'ringan tulang' membantu tugasnya mengasuh Gia.

"Daud pandai memakaikan Gia lampin dan kain barut selain menukar baju. Dia juga boleh mandikan Gia. Saya ajar dia cara mengelak bayi kembung perut dengan menggunakan daun sirih. Daud juga pandai meletakkan minyak telon di ubun-ubun Gia.

"Gia menjadi cucu keempat kepada keluarga saya dan cucu ketiga di sebelah keluarga Daud. Berat Gia sudah mencapai tujuh kilogram dan semakin menyerlahkan fizikal terutama ketinggian mirip bapanya," tutur Lana.

Untuk rekod, Lana selamat melahirkan anaknya pada Januari lalu.



         ________________________





No comments: