03 April 2016

5 GAMBAR - DALAM DIAM-DIAM, SHAWAL AF5 BERGELAR SUAMI JANUARI LALU



Lama kita tak dengar khabar tentang Shawal AF5 yang bertunang dengan Nor Azura Zulkapli pada 30 November 2013 di Kelana Jaya, Selangor. Tup tup terkini, Shawal telah selamat bergelar suami Azura pada 30 Januari lalu.

Difahamkan, majlis pernikahan mereka diadakan secara sederhana di sebuah dewan di Jalan Klang Lama. Semalam mereka telah diraikan dalam satu majlis resepsi yang diadakan di Kelana Jaya.

Shawal atau nama penuhnya, Mohd Shawal Ruslan, 32, bernikah selepas waktu asar. Dia yang terkenal dengan trademark, 'Agogo' itu mengenali isterinya sejak tahun 2011.





"Namun, pada satu peringkat, hubungan kami terputus. Hendak dijadikan cerita, kami berjumpa semula pada tahun 2013.

"Selepas empat bulan rapat, majlis merisik diteruskan. Kami bertunang pada 30 November 2013," kata Shawal sambil menyifatkan isterinya sebagai wanita yang sangat memahami dan menerima dirinya seadanya.

Pada majlis tersebut, Shawal menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak perempuan. Namun, Shawal merahsiakan jumlah wang hantaran.



"Sampai sekarang, kami belum sempat berbulan madu. Bermula dengan majlis nikah dan persandingan, tarikh kedua-duanya memang rapat.

"Kami tak mahu terburu-buru berbulan madu dan tak kisah di lokasi manapun. Kalau mengikut keinginan isteri, dia nak bercuti ke Eropah termasuk ke Paris.

"Insya-Allah, jika ada rezeki, kami hendak ke Paris," ujarnya yang dilantik sebagai duta sebuah agensi kembara selama setahun.



Ditanya mengenai soal anak, Shawal dan isteri tidak menolak rezeki.

"Kami terima dengan hati terbuka untuk jadi ibu dan bapa. Soal jantinapun kami tak kisah. Apa diberi Tuhan, kami bersyukur," jelasnya.

Mengenai kerjaya seni, Shawal masih aktif biarpun namanya tidak sehangat ketika berada di pentas AF.



"Saya mulakan kerjaya seni selepas AF5 dengan menyanyi. Kemudian rezeki saya beralih ke bidang lakonan. Saya juga mencuba nasib sebagai pengacara.

"Saya memang tak memilih kerja hingga tawaran mengacarakan hari keluargapun saya buat. Dulu saya pernah rasa hidup glamor dan popular. Jadi sekalipun sekarang tidak begitu, saya terima apa saja. Turun naik dalam hidup adalah lumrah," tuturnya.

Dalam masa sama, Syawal memberitahu hasratnya menghasilkan single baharu. Ini kerana katanya, masih ada peminat dan teman-teman yang merindui suaranya di corong radio.


Sumber: BH
Foto: Takaira Studios FB


         ________________________





No comments: