07 May 2016

ISTERI SELAMAT BERSALIN - ZIMI SOFAZR TIMANG ANAK KEDUA



"Saya bersyukur dan gembira apabila mendapat seorang lagi anak perempuan kerana tahu dia akan menjadi sahabat saya," ujar penyanyi dan pemain gitar Zimi, 32, dari kumpulan Sofazr dan juga Akim & The Majistret yang menyifatkan kelahiran anak keduanya pada pagi Jumaat sebagai pelengkap rumah tangganya bersama isteri, Isma Salwana Ismail, 33.

Menurut pemilik nama sebenar Zarimi Zahari, kehadiran cahaya matanya itu membuatkan dia lebih bahagia dan bersemangat untuk bekerja lebih kuat demi keluarga.

"Biasalah kebiasaannya anak perempuan lebih rapat dengan bapa malah anak sulung pun manja dengan saya.





"Kehadiran anak-anak melengkapkan rumah tangga kami dan saya perlu lebih tekun dalam pekerjaan demi keluarga saya," jelasnya.

Difahamkan, isterinya itu selamat melahirkan bayi kedua mereka pada pukul 5.45 pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.

Kata Zimi, dia dan isterinya sepakat untuk memberi nama Zerlinara Imani yang membawa maksud berkarisma dan beriman.



"Alhamdulillah semuanya selamat dan bayi kedua ini seberat 3.5 kilogram dan dilahirkan betul-betul ketika waktu solat Subuh.

"Keadaan ibu dan anak dalam keadaan baik malah mereka telah pun dibenarkan untuk pulang ke rumah.

"Isteri saya yang memilih nama berkenaan dan saya setuju kerana ia membawa maksud yang baik," katanya.

Zimi sebelum ini mempunyai seorang anak perempuan iaitu Zerlinada Ikil yang bakal berusia setahun pada Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Zimi berkata, dia bersama kumpulan Akim & The Majistret sibuk dengan beberapa persembahan dan rakaman program sempena Aidilfitri.

Terdahulu kumpulan itu muncul sebagai Personaliti Terunggul Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) yang diadakan pada 30 April lalu.

Selain itu, Akim & The Majistret turut membawa pulang trofi Grup Pilihan Online


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: