Pertanyaan ramai berhubung soal kehamilan, Marsha Milan Londoh, 30, menganggap ia sebagai doa supaya dikurniakan zuriat cepat namun kadang kala membuatkannya tertekan disebabkan tidak sabar bergelar ibu.
Marsha bagaimanapun sentiasa bersangka baik dan melihat keprihatinan insan sekeliling yang sering bertanya sama ada sudah tiba perkhabaran gembira itu dari sudut positif.
"Sejujurnya saya agak tertekan kerana memang teringin menimang anak hingga tanda kecil pun membuatkan saya cepat teruja, sedangkan ia sekadar memberi harapan palsu.
"Bukan disebabkan orang bertanya tetapi mungkin saya sendiri terlalu mengharap. Apa pun saya cuba hindari tekanan kerana kami pun baharu enam bulan bergelar suami isteri.
"Banyak waktu lagi untuk menunggu berita baik itu. Pasti ada rezeki nanti dan kami perlu banyakkan doa serta bersabar," ujarnya dipetik sebagai berkata.
INGIN MELETAKKAN IKLAN ANDA DI SINI?
SIZE 450 x 350 - KLIK UNTUK INFO
Ditanya mengenai Ramadan, Marsha memaklumkan yang dia tidak kekok berpuasa kerana sudah mula belajar dan mengamalkannya dengan tunjuk ajar beberapa teman rapat yang beragama Islam sebelum ini.
Tapi kata Marsha, ramadan tahun ini berlainan apabila perasaan menjalani ibadah puasa dan menunaikan solat terawih bersama suami buat kali pertama sukar diungkapkan dengan kata-kata malah bersyukur di kelilingi insan tersayang yang sering memberikan semangat.
"Sukar untuk saya ungkapkan keterujaan berpuasa dan bersolat terawih sebagai umat Islam. Ia meninggalkan kesan mendalam hingga membuatkan hati digamit rasa terharu berpeluang menjalani ibadah ini buat pertama kali.
"Saya sebenarnya sudah banyak kali berpuasa ketika berada di Akademi Fantasia dulu. Cuma bezanya kali ini ibadah itu disertakan dengan pahala. Saya dan suami juga sebenarnya sedang cuba mengamalkan pola pemakanan sihat sepanjang Ramadan.
"Kami berdua menjaga berat badan kerana semakin berisi selepas kahwin membuatkan kami menyelitkan diet sihat sepanjang puasa bagi memastikan tubuh mendapat gizi yang mencukupi," jelasnya.
Untuk rekod, Marsha dan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, 29, berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mula serius dalam tempoh dua tahun sebelum diijabkabulkan pada 31 Disember lalu di kediaman keluarga Shaiful di Pulau Pinang.
Sumber: Berita Harian
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment