28 August 2016

4 GAMBAR - ANAK FADILAH MANSOR SELAMAT BERGELAR ISTERI



Pada 20 Ogos lalu, pelakon Alia Farhani Ahmad, 25, yang merupakan anak kepada Datin Fadilah Mansor, 57, dan Ahmad Ibrahim atau Mat London, 60, telah selamat bergelar isteri kepada Muhamad Daniel Ahmad, 26, Eksekutif Arena Sukan di iM4U, dengan sekali lafaz.

Pada majlis tesebut, Alia yang menyulam cinta dengan Daniel selama tiga tahun itu menerima mas kahwin seutas gelang emas dan wang hantaran RM25,000. Pihak lelaki juga membawa tujuh dulang hantaran.

Majlis pernikahan berlangsung di Villa Fragrans Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Kepong berlangsung dengan meriah dihadiri keluarga ayah dan ibunya.





Membesar dalam keluarga yang bercerai mungkin pengalaman pahit buat orang lain tetapi tidak bagi Alia. Walaupun ayahnya berpisah dengan ibunya dan dia tinggal dengan ayahnya, tidak bermakna hubungan dengan ibu terputus.

Ayahnya tidak pernah menghalang dia dan adiknya, Faeesal Aswad, 23, bertemu ibu mereka. Malah untuk hari bahagianya, ibu dan bapa tiri, Datuk A Rahman Hassan banyak membantu menjayakan segala persiapan.

Kata Fadilah, meskipun sudah berpisah ia tidak melunturkan hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi di antara ibu dan anak.

"Tiada istilah bermasam muka dengan bekas suami malah kami tetap bersahabat demi anak-anak. Lagipun, kenapa kami harus membenci atau bermasam muka di antara satu sama lain.



"Perpisahan berlaku itu pun secara baik. Jadi, tiada salahnya untuk kami terus bersahabat demi anak-anak. Suami saya pun memahami dan menerima dengan baik persahabatan ini kerana kami bertiga pun terbabit dalam industri seni," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Mesra dengan panggilan Kak Chik, Fadilah akui anak-anak menjadi keutamaannya selepas berpisah dengan suami.

"Biarpun ikatan suami isteri sudah bernoktah, tetapi tidak hubungan persahabatan. Kami pastikan anak-anak mendapat kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa," jelasnya.

Masih aktif berlakon, Fadilah kini terbabit dalam beberapa penggambaran drama antaranya Awak Sangat Nakal dan Segalanya Dia.

___________________________________________________
--- IKLAN ---

BERMINAT UNTUK BERIKLAN DI MYARTIS?   KLIK UNTUK INFO
_____________________________________________________


Biarpun kini berstatus Datin, bagi Fadilah tiada apa yang berubah kerana masih seperti dulu tidak memilih watak untuk dilakonkan.

Katanya, asalkan watak itu sesuai ia sudah memadai dan akui tidak kisah asyik disogok dengan karakter ibu miskin yang tinggal di kampung.

Bagi Mat London pula, biarpun dua anak tinggal bersama dengannya, dia tidak pernah menghalang mereka berjumpa dengan ibunya.

"Sebagai bekas suami, saya gembira dengan kehidupan Fadilah kini. Saya doakan rumah tangganya bersama A Rahman bahagia hingga ke akhir hayat. Walaupun di antara kami sudah ada kehidupan masing-masing, kasih sayang anak pada ibu mereka takkan saya pisahkan. Lagi pun Fadilah juga ada hak sebagai ibu kepada dua anak kami. Tambah pula dia ibu yang baik," katanya.



Mat London juga berterima kasih kepada A Rahman kerana banyak membantu dia dan keluarga. Katanya, hubungan kekeluargaan antara dia dan Fadilah serta suaminya bagaikan keluarga besar.

Fadilah berkahwin dengan Mat London pada 18 Oktober 1989 dan bercerai 28 September 2012. Kemudian Fadilah berkahwin dengan A Rahman pada 25 Disember 2014.

Sudah aktif berlakon sejak usia enam tahun, Alia mengakui tidak pernah menggunakan pengaruh ibu bapanya sebagai tiket utama untuk membina nama dalam karier seni. Baru membintangi tiga drama iaitu 'Aku Pilih Kamu', 'Waris Kasih' dan 'Aku Bukan Rasul' arahan Zul Huzaimy, lakonan baginya hanya karier sambilan.

"Sekarang saya bekerja dengan butik Jovian Mandagie manakala lakonan hanya apabila perlu. Setakat ini pun tiga drama lakonan saya semuanya bawah arahan Zul Huzaimy. Abang Zul yang suka memberi saya peluang," tuturnya.



Menurut Alia, sekalipun ibunya dramatis dikenali ramai dan bapanya pengarah drama, dia lebih suka berdikari. Kini statusnya sebagai isteri pula bukan halangan untuknya meneruskan lakonan. Alia bersyukur dipertemukan jodoh dengan Muhamad Daniel yang cukup memahami dirinya dan seorang yang penyabar.

"Suami sentiasa berada di samping sama ada pada kala susah atau senang sebelum ini. Suami juga tidak menghalang saya terus aktif berlakon. Bagaimanapun, saya akan pastikan teliti watak dan ambil tawaran yang sesuai dengan status saya kini. Begitu juga sesuai dengan masa penggambaran," katanya.

Alia juga terharu kerana majlis perkahwinannya dihadiri keluarga ayah dan ibunya. Dia juga gembira kerana pilihannya mendapat restu ibu bapanya. Alia juga berterima kasih kepada bapa tirinya yang banyak membantu dalam memastikan atur cara hari bahagianya berjalan lancar.


Sumber: Harian Metro
Foto: Harian Metro & Fadilah Mansor IG



         ________________________





No comments: