01 November 2016

3 MINGGU SAKIT TAK SEMBUH - ELLY MAZLEIN KENA PENYAKIT MISTERI



Jika sebelum ini, penyanyi Awie Wings mendakwa dirinya terkena penyakit misteri sehingga melibatkan isteri serta anak-anaknya, terkini Elly Mazlein juga turut mendakwa menghidap penyakit yang sama.

Menurut penyanyi dan pelakon berusia 36 tahun ini, penyakit misteri itu telah mengganggu tumpuannya ketika bertanding pada program Gegar Vaganza musim ketiga.

Ini kerana kata Elly, akibat keadaan kesihatan kurang memuaskan, beliau kehilangan fokus malam tadi menyebabkannya terlupa lirik sewaktu mempersembahkan lagu dangdut, Perawan Atau Janda.





Justeru, kata Elly, beliau akan menjalani rawatan tradisional pula bagi memulihkan penyakit yang dialaminya sejak minggu pertama rancangan popular itu berlangsung.

"Sampai sekarang kesihatan saya tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih dan batuk juga masih tidak berhenti.

"Begitupun, saya tidak menyalahkan keadaan kesihatan sebagai punca saya gagal memberikan persembahan terbaik (malam) tadi. Sebaliknya, ia berlaku mungkin kerana saya hilang fokus.



"Esok (hari ini), saya akan berjumpa seorang ustaz bagi mencari punca sebenar kesihatan saya yang belum pulih.

"Sebelum ini, saya juga pernah meminta seorang ustaz untuk melakukan rawatan dan saya agak terkejut apabila dimaklumkan, ada orang jauh 'menghantar' sesuatu kepada saya sejak minggu pertama pertandingan berlangsung," jelas Elly ketika ditemui media selepas program itu berakhir.

Akibat penyakit misteri yang dialami juga, Elly yang mempunyai seoarang anak perempauan bernama Putri Sara Sefhia ini mendakwa berat badannya semakin menyusut manakala wajahnya pucat sebelum muncul mengadakan persembahan.



Enggan bercerita lanjut mengenai gangguan dialami, Elly bagaimanapun tidak mahu menuding jari mahupun menyalahkan sesiapa sehingga membuatkan dirinya menderita sakit.

"Buat masa sekarang, ustaz yang saya jumpa itu membekalkan saya dengan ayat-ayat al-Quran yang perlu dibaca bagi menghalang 'benda' itu daripada terus-terusan mengganggu.

"Apabila sudah tiga minggu tidak pulih-pulih, saya berasa pelik. Saya sendiri tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku? Berikutan itu, atas nasihat kawan dan peminat, saya mengambil keputusan untuk berubat cara tradisional pula selepas ini," katanya.


Sumber: Berita Harian
Foto: Elly Mazlein IG



         ________________________





No comments: