05 November 2016

"JANGAN AMBIL MUDAH & LEWA" - NABIL SUDAH BAYAR CUKAI RM500K



"Ya, sebelum ia jadi masalah yang serius, saya buat keputusan untuk menunaikan tanggungjawab itu dengan hati penuh rela.

"Saya tidak melihat pembayaran cukai ini sebagai satu beban, sebaliknya sentiasa beringat bahawa dalam setiap pendapatan atau rezeki yang diperoleh, terdapat hak orang lain di dalamnya.





"Sebab itulah ketika mendapat surat daripada LHDN untuk arahan pembayaran, saya terus bertindak pergi berbincang dengan mereka dan mengatur pembayaran perlahan-lahan.

"Ini kerana pada 2012 itu, saya sudah pun punyai tunggakan selama tiga tahun, ada sedikit proses yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu," kata Nabil Ahmad yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

Menurut Nabil, dia telah mula membayar cukai hasil pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak 2012 lagi. Bukan sedikit, sebaliknya dihitung dibilang, kira-kira hampir RM500,000 sudah dilangsaikan kepada agensi kerajaan itu sejak tiga tahun lalu.



Memulakan karier sebagai artis pada 2009, Nabil memberitahu Mega HITS, dia juga sudah menjelaskan tunggakan pembayaran tersebut yang mula dikira sejak pembabitan sebagai anak seni.

Menganggap ia salah satu cara untuk beramal jariah, Nabil melakukannya dengan rasa yang sama seperti membayar zakat.

Dengan keikhlasan dengan memperuntuk sebahagian rezeki kurniaan-Nya untuk kepentingan bersama, Nabil percaya ia mampu membantu membangunkan negara yang dicintai ini.



Justeru, dalam masa yang sama, Nabil juga mengingatkan artis-artis muda agar jangan mengambil mudah atau ambil lewa isu pembayaran cukai. Ini demi melancarkan perjalanan karier mereka sendiri pada masa hadapan.

"Hakikatnya, selagi kita memegang status warganegara, jangan harap boleh terlepas daripada tanggungjawab membayar cukai. Kita tak boleh nak lari ke mana-mana pun, lambat atau cepat akan kena bayar juga.

"Kita perlu jadikan beberapa kes artis-artis lain sebagai pengajaran. Kita ambil iktibar daripada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini," jelas Nabil memberi peringatan.


Sumber: Utusan Online
Foto: @nabilzira


         ________________________





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...