24 November 2016

KOMEN BERBAUR FITNAH - SUAMI NORA AKAN BUAT LAPORAN POLIS



Sejak akhir-akhir ini, peserta Gegar Vaganza 3 (GV3), Nora Ariffin sering menerima pelbagai cemuhan, kecaman serta tuduhan oleh netizen di laman sosial.

Isu berkenaan tercetus sejak minggu lalu lagi apabila Nora enggan menyanyikan lagu dangdut dan menukarnya kepada rock pada minggu ke-6 GV3. Netizen menjadi lebih geram dan terus mengkritik Nora saat beliau menolak untuk menyanyikan lagu pilihan media iaitu 'All I Ask' nyanyian Adele dan memilih untuk menyanyikan lagu beliau sendiri berjudul 'Sandiwara' pada konsert separuh akhir.





Geram dan bengang dengan tuduhan peminat di laman sosial, suami kepada Nora iaitu Johan Nawawi telah tampil memberikan amaran keras dan bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang melemparkan fitnah kepada dia dan isterinya.

Menurut Johan, dia sudah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada bahagian siasatan jenayah siber Polis Diraja Malaysia Bukit Aman berhubung perkara itu.

"Buat masa sekarang saya berdiam diri dahulu. Tetapi jika selepas ini masih ada komen-komen yang dilemparkan berbaur fitnah saya tak teragak-agak untuk membuat laporan polis. Saya sudah membuat beberapa paparan skrin akaun pengguna laman sosial beserta komen mereka yang memfitnah saya dan keluarga. Bagi saya perkara itu mengganggu ketenteraman kami sekeluarga.



"Kalau nak komen atau kritik berkenaan nyanyian tak mengapa, itu saya okey lagi. Tapi apabila sampai tahap memfitnah itu sangat keterlaluan. Kenapa perlu menuduh saya membayar pihak Astro agar isteri saya mendapat lagu yang sesuai dengannya? Tak ada sebab saya nak berbuat sedemikian.

"Lebih teruk apabila ada komen mengatakan isteri saya mempunyai hubungan sulit dengan VIP. Semua itu mengarut," katanya yang turut berkata yang perkara sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia menimbulkan persoalan dalam kalangan anak-anaknya yang turut membaca komen itu.

Semalam Johan memuatnaik status di laman Instagram miliknya berkenaan sikap 'kurang ajar' segelintir pengguna laman sosial yang bertindak memfitnah dirinya dan juga isterinya. Menerusi status itu, Johan menyelar tindakan mereka yang seolah-olah tidak sensitif dengan isu sebegini.


Sumber: Harian Metro
Foto: Johan Nawawi IG



         ________________________





No comments: