14 December 2016

IBARAT MATI HIDUP SEMULA, SAYA PERLU 'SURVIVE' - SAHARA YAACOB



Penyanyi veteran, Sahara Yaacob, 60, kini kembali ke persada hiburan tempatan selepas kisah duka hidupnya mendapat perhatian media tempatan.

Beliau yang pernah mendapat jolokan Tina Turner Malaysia pada era 1980-an berkata, dia bersyukur dengan kehidupan dilalui sekarang dan merasakan ia satu rahmat yang tidak terhingga.





Biarpun sudah 15 tahun tidak menyanyi, minat dan cintanya terhadap dunia nyanyian tidak pernah padam, malah Sahara menyifatkan peluang yang diberikan kini ibarat mati hidup semula.

Menariknya, Sahara yang turut dikenali dengan imej seksi dan penuh kontroversi ini menyuarakan hasrat untuk kembali aktif dalam bidang seni suara bermula tahun depan biarpun sekadar menyanyi di kelab malam.

Selain itu, Sahara juga meluahkan hasrat untuk kembali berumah tangga sekiranya ada jodoh yang terbaik untuknya.




Ingin tahu lebih lanjut kisah terkini mengenai dirinya, ikuti temubual media dengan Sahara:

MEDIA: Boleh kongsikan bagaimana kehidupan anda sekarang?

SAHARA: Saya sangat berterima kepada badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saudara-mara, kawan lama dan pihak media. Sekarang saya sudah ada rumah yang lebih baik untuk didiami. Terima kasih juga kepada Pengurus, Datuk Tommie Tomiran yang banyak menjaga kebajikan saya.

MEDIA: Dengan kehidupan kini, ada saudara-mara dan rakan lama datang semula kepada anda?

SAHARA: Kalau nak tahu tidak ada sesiapa yang membuang atau mengetepikan saya daripada hidup mereka, cuma saya yang menjauhkan diri daripada mereka. Selama 10 tahun saya menyendiri dengan tidak mahu berjumpa sesiapa pun. Jadi sekarang apabila saya menghubungi mereka semula, alhamdulillah mereka sudi datang. Lagipun mereka memang sudah lama tunggu dan nak berjumpa dengan saya.


--- IKLAN ---




MEDIA: Bagaimana perasaan anda apabila diberi peluang membuat persembahan pada Anugerah Melodi 2016, Sabtu lalu?

SAHARA: Selepas 15 tahun, itu adalah penampilan dan persembahan pertama saya. Apabila mendapat tawaran itu daripada pihak Melodi, saya berasa sangat bersyukur.

MEDIA: Adakah itu petanda anda bakal kembali aktif dalam bidang nyanyian?

SAHARA: Sebelum ini pun banyak yang memanggil saya menyanyi semula, malah pemuzik dan rakan di kelab juga tidak pernah putus memberi tawaran. Sekarang saya berasakan itu adalah peluang keemasan untuk saya. Pada masa sama saya perlu 'survive' untuk menjalani kehidupan. Jadi nak tak nak saya perlu menyanyi semula biarpun sekadar di kelab malam. Saya tak kisah kerana sebelum ini pun saya pernah menyanyi di situ. Buat apa nak malu? Siapa nak bagi saya duit kalau bukan diri sendiri?

MEDIA: Banyak pihak terkejut dengan penampilan anda tanpa bertudung ketika persembahan di Anugerah Melodi itu. Apa komen anda?

SAHARA: Saya memang suka membuat kejutan. Malam itu adalah malam persembahan. Jadi saya adalah 'show girl'. Justeru, saya perlu kelihatan seperti 'show girl'.

MEDIA: Adakah anda akan kekal dengan imej sebegitu?

SAHARA: Allah saja yang tahu sama ada itu penampilan kekal saya atau tidak. Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun sepanjang malam itu ramai yang bertanya mengenai penampilan saya itu. Apatah lagi saya sudah dua tahun bertudung. Dalam tempoh itu, saya menunggu ustaz atau sesiapa masuk meminang, tapi tak ada seorang pun. Bukan apa, manalah tahu ada yang sudi menjadi suami keenam saya.

MEDIA: Nampaknya anda memang bersedia untuk kembali berumah tangga?

SAHARA: Saya pun tak boleh nak kata bersedia atau tak untuk berkahwin lagi. Saya menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan aturan Allah. Cuma buat masa sekarang tak ada sesiapa masuk meminang lagi. Itu sebab saya nak menyanyi semula.

MEDIA: Bagaimana jika anda terus mendapat kecaman dan kritikan masyarakat?

SAHARA: Saya percaya keimanan itu dalam hati. Bukan dari segi luaran. Itu saya punya pemahaman. Kalau orang nak terus mencaci dan mengata, saya tak boleh nak menutup mulut orang. Kadang-kadang orang yang sudah meninggal dunia pun masih mendapat cacian daripada masyarakat. Berkenaan persembahan pada malam itu, saya sudah bersedia dari awal lagi untuk menerima kritikan. Ia bukan masalah besar buat saya.

MEDIA: Apa yang anda boleh katakan mengenai persepsi segelintir masyarakat terutama pengguna laman sosial?

SAHARA: Bagi saya kehidupan perlu diteruskan. Saya hanya menjadi diri sendiri. Apa yang penting adalah hati. Hanya Allah saja yang mengetahui. Kita sebagai manusia tak ada hak untuk menghakimi atau menjatuhkan hukum kepada orang lain. Lagi satu, mereka juga bukan membayar bil dan keperluan harian saya.


Sumber: Harian Metro



         ________________________





No comments: