14 January 2017

AL-FATIHAH - PENYERI GV, JAMAL MANAP @ PAPA J KEMBALI KE RAHMATULLAH



Selama tiga musim Gegar Vaganza (GV) bersiaran, kelibat bekas anggota kumpulan duo, Asiarasa yang popular pada era 1980-an, Jamal Manap atau lebih dikenali sebagai 'Papa J', 55, pasti kelihatan sebagai penyeri dan penonton setia program tersebut.

Saban minggu, Papa J pasti tampil memberi sokongan dan cukup sporting menari sebagai tanda sokongan kepada peserta program itu.

Terkini tiada lagi penyeri Gegar Vaganza apabila Papa J dilaporkan telah menghembukan nafas terakhirnya pada jam 9.50 malam semalam di Hospital Ampang akibat pendarahan dalam kepala.

Klik untuk gambar besar




Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

Difahamkan, Jamal yang menganggotai Asiarasa bersama seorang lagi penyanyi iaitu Khalid Ahmad itu telah terjatuh dan ditemui tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di rumahnya di Taman Kosas, Ampang.

Jamal yang tinggal bersendirian ditemui seorang pekerjanya yang tiba di rumah berkenaan untuk keluar berniaga pada jam 10.15 pagi.



Abangnya, Mohamad Sani, 57, berkata, adiknya dibawa ke Hospital Ampang, di sini, dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal serta terpaksa bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

"Saya dan isteri tidak tahu kejadian sebenar kerana dia tinggal seorang diri. Pagi tadi apabila salah seorang pekerjanya tiba di rumah untuk pergi berniaga, dia mendapati Jamal tidak sedarkan diri dan terlantar di depan pintu bilik air sementara air gula yang dimasak juga sudah kering," katanya yang tinggal bersebelahan rumah Jamal.

Menurut Mohamad Sani, Jamal sebelum ini pernah memberitahu kakaknya bahawa dia disahkan menghidap kanser.



"Dia seorang yang tidak suka berkongsi mengenai penyakit yang dialami kepada adik-beradik lain kecuali kakaknya. Baru-baru ini sikapnya sangat lain apabila memberitahu kakak dia tidak tahu berapa lama lagi akan hidup," jelasnya.

Menurut Mohamad Sani, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, sebelum solat Zuhur, hari ini.

Kumpulan Asiarasa yang bernaung di bawah Ciku Records milik Manan Ngah ketika itu popular dengan lagu 'Tanda Ingatan' ciptaan komposer terkenal itu.

Takziah kami ucapkan dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Amin.


Sumber: Berita Harian & Harian Metro



         ________________________





No comments: