14 January 2017

"DEMI KESELAMATAN, SAYA PASANG CCTV" - ELLY MAZLEIN



Sebagai langkah keselamatan untuk diri sendiri dan anaknya, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya baru-baru ini.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 37, berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku selain memastikan individu yang tidak bertanggungjawab dapat dikesan di kawasan kediamannya.

"Tahap kawalan di rumah saya memang agak ketat sekarang, hanya orang tertentu sahaja dibenarkan masuk. Saya juga baru pasang CCTV untuk keselamatan kerana tidak mahu ada individu yang buat onar atau tidak bertanggungjawab berada di kediaman saya," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Klik untuk gambar besar




Sementara itu, ditanya tentang beberapa pendedahan yang dibuat di laman sosial Instagram mengenai bekas suaminya, Elly berkata ia merupakan salah satu cara untuk dia meluahkan kebenaran yang berlaku.

Penyanyi lagu 'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' ini, berkata, apa yang dikongsinya di laman sosial bukanlah fitnah.

"Saya tidak mahu berdiam diri macam dahulu sehingga muka saya dipijak. Saya akan terus buat pendedahan dan kenyataan di laman sosial tentang sesuatu yang tidak betul. Apa yang saya kongsikan itu dan bukannya sesuatu yang saya bercakap bohong. Biar orang luar yang menilai sendiri," jelasnya.



Elly dan pengarah drama Azmi Hatta berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika Elly sedang hamil empat bulan. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata bernama Putri Sara Sefhia yang kini berusia 10 bulan.

Sementara itu, bercakap tentang kerjaya lakonan dan nyanyian, Elly berkata rezekinya semakin bertambah. Dia sudah mengikat kontrak sebagai artis bawah KRU Music dan bakal keluar dengan sebuah album.

"Alhamdulillah, saya akan mula berlakon pada April ini dan baru saja mengikat kontrak sebagai artis bawah KRU Music. Saya percaya syarikat rakaman itu mampu mengaturkan kerjaya nyanyian saya pada tahap terbaik," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: