15 January 2017

JENAZAH JAMAL MANAP @ PAPA J SELAMAT DIKEBUMIKAN



Sebelum solat Zohor sekitar 11.30 pagi semalam, jenazah bekas anggota kumpulan duo Asiarasa, Allahyarham Jamal Manap atau lebih dikenali sebagai Papa J, 55, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala di Hospital Ampang, 9.50 malam kelmarin.

Abang arwah, Mohamad Sani Manap, 57, berkata kira-kira tiga minggu lalu Allahyarham ada memberitahu kakak mereka mengenai penyakit dihidapi.

Klik untuk gambar lain




"Arwah Jamal ada memberitahu kakak kami, Salma Manap, 58, yang dia takkan hidup lama kerana disahkan menghidap penyakit barah saraf oleh doktor.

"Memang terkejut juga apabila mengetahuinya kerana arwah sentiasa nampak sihat dan ceria," katanya.

Reda dengan takdir Ilahi, Muhamad Sani berkata, adiknya yang hidup bujang meninggal dunia dalam keadaan amat mudah.

Ketika hayatnya, Allahyarham juga menjaga dan tinggal brsama ibunya, Maimon Mohamad Yusof,79.

"Bagi pihak keluarga, saya mengucapkan terima kasih kepada sanak saudara, sahabat dan kenalan arwah yang hadir menziarah di hospital, rumah hinggalah ke tanah perkuburan," katanya.



Kira-kira 200 orang menghadiri majlis pengkebumian Allahyarham Jamal yang pernah menjadi koreografer dalam program Sehati Berdansa musim ketiga di Astro membimbing Sazzy Falak dan suami.

Antara rakan selebriti yang hadir ialah Sazzy dan suami, Hail Amir, Ayati Tasrip, Farouk Hussein, Zack Kool serta Siti Fairuz.

Sebelum meninggal dunia, terdahulu Jamal ditemui tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, pagi kelmarin. Arwah ditemui oleh salah seorang pekerjanya pada jam 10.15 pagi kerana mahu keluar berniaga bersama.

Ketika menganggotai Asiarasa lewat era 1980-an dulu, arwah bergabung dengan rakannya penyanyi Khalid Ahmad. Mereka yang bernaung di bawah Ciku Records milik Manan Ngah ketika itu dan pernah popular dengan lagu Tanda Ingatan ciptaan Manan.


Sumber: Harian Metro



         ________________________





No comments: