30 January 2017

ANAK KEDUA SELAMAT DILAHIRKAN - LOQUE NAMAKAN 'SEROJA DEWI HARAPAN'



"Saya anggap Seroja anak yang memberi harapan kepada ibu bapa. Ini kerana sejak dalam kandungan lagi, dua kali doktor mengesahkan anak ini sudah tidak bernyawa.

"Sebelum menjalani proses mencuci rahim, doktor mengimbas sekali lagi perut isteri. Tidak disangka-sangka, dia bernyawa. Kuasa Allah semuanya... kami bersyukur," kata penyanyi dan komposer, Loque yang telah menimang cahaya mata keduanya pada 21 Januari lalu.

Klik untuk gambar besar




Anak kedua Loque yang dilahirkan seberat kira-kira tiga kilogram di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya, telah dinamakan dengan nama unik iaitu 'Seroja Dewi Harapan'. Ini kerana Loque menyifatkan Seroja membawa harapan tinggi kepada dirinya dan isteri.

Dalam pada itu, Loque berkata, isterinya Dahlia sering sakit sepanjang proses kehamilan.

"Sehinggalah ketika mahu bersalin, denyutan jantung bayi semakin rendah. Tetapi Alhamdulillah, isteri dan anak selamat sepanjang proses kelahiran," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Loque dan isterinya itu mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Anggerik Dang Jelita yang berusia empat tahun.

Kata Loque lagi, apabila melihat Seroja sempurna ketika dilahirkan, timbul rasa insaf dan syukur kepada Tuhan.

"Seroja mengubah saya daripada segi kerohanian dan menginsafkan saya melihat isteri bertarung nyawa saat melahirkan anak," jelasnya sambil menambah Seroja juga memberi harapan kepadanya dalam berkarya.

Tambah Loque, kehadiran Seroja menambah keceriaan keluarga biarpun suasana sedikit kecoh kerana perlu mengasuh dua anak.



"Saya terima saja apa yang berlaku dalam kehidupan harian. Cuma, bermulanya saat bergelar bapa, ketika kelahiran Anggerik, sehinggalah hari ini, kami bahagia sekeluarga.

"Buat masa ini, saya mahu berehat seketika untuk bersama isteri dan anak-anak. Kemudian, saya akan mula sibuk dengan kerja menghasilkan album baharu," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Loque berkata, album baharu berjudul 'Jangan Puja Sampai Kecewa' dijangka dilancarkan sebelum Aidilfitri tahun ini.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: