11 February 2017

ISTERI BERSALIN AWAL: "BABY NAK TENGOK AYAH DI MLM" - SHAHROL SHIRO



Tahniah diucapkan kepada Shahrol Shiro, 33, apabila isterinya, Anna Danisha selamat melahirkan anak lelaki secara normal pukul 9.36 malam Rabu (8 Februari 2017), di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, Johor.

Difahamkan, isteri Shahrol bersalin awal dari jangkaan doktor iaitu pada bulan Mac.

"Alhamdulillah, isteri dan anak saya berada dalam keadaan sihat dan sudah pulang ke rumah. Saya bersyukur kerana berada disisi isteri dari saat awal hingga dia selamat bersalin.

Klik untuk gambar besar




"Kira-kira pukul 3 pagi, isteri saya mengadu sakit perut dan tidak lama kemudian air ketubannya pecah dan saya cepat-cepat bawa dia ke hospital.

"Sebenarnya saya agak panik kerana tidak menjangkakan isteri akan bersalin awal kerana menurut jangkaan doktor dia akan bersalin pada bulan Mac.

"Agaknya anak saya tak sabar nak tengok ayah dia bertanding di pentas Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) minggu hadapan," seloroh Shahrol.

Menurut Shahrol, dia akan berulang alik dari Kluang ke Kuala Lumpur setiap minggu kerana tidak mahu meninggalkan isterinya bersama anak terlalu lama.



"Saya akan ke Kuala Lumpur setiap minggu dan pulang selepas tamat persembahan kerana isteri dan anak perlukan perhatian saya.

"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada ibu mertua yang sangat memahami kerja saya dan memberitahu akan tengok-tengokkan isteri dan baby sepanjang 12 minggu saya di MLM 2017.

"Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya, isteri dan anak," ujarnya yang akan berentap bersama 14 kumpulan lain di MLM 2017 yang akan bersiaran secara langsung dari Royal Teater, Shah Alam, setiap Jumaat bermula 17 Februari ini.

Untuk makluman, bayi yang baru dilahirkan ini merupakan anak kedua bagi Shahrol dan pertama bagi Anna. Sebelum ini, Shahrol pernah dikurniakan anak lelaki, Muhd Adam hasil perkahwinan terdahulu. Shahrol berkahwin dengan Anna pada 18 Mac 2016.




Sumber: Astro Gempak
Foto: Shahrol Shiro IG & Anna Danisha IG



         ________________________





No comments: