11 February 2017

DEMI 'BADANG' - FASHA SANDHA KORBAN RAMBUT



Demi memastikan watak Tisha ditampilkan benar-benar hidup dalam filem terbaharu 'Badang', pelakon Fasha Sandha sanggup mengorbankan rambut panjangnya untuk dipotong pendek.

Pada mulanya, Fasha diminta untuk membotakkan kepala namun menolak permintaan tersebut bagi menghormati sensitiviti masyarakat.

Selain Fasha, turut membintangi filem yang diarahkan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen adalah pengasas produk kecantikan Datuk Aliff Syukri, Fauzi Nawawi dan Fareez Fauzi.

Klik untuk gambar besar




Jelas Fasha dalam satu kenyataan, pengorbanan itu dilakukan kerana ia tuntutan yang sangat diperlukan dalam satu babak penting filem itu.

"Babak ini menunjukkan Tisha yang juga isteri kepada Badang dianiaya oleh abangnya, Tai lakonan Fauzi Nawawi. Tisha telah didera dengan kejam oleh abangnya apabila dipukul, direntap dan digunting sebahagian besar rambutnya. Kekejaman Tai terserlah apabila perlakuan jahat itu ditonjolkan," kata Fasha.

Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi filem 'Black Maria' dan 'Berlari Ke Langit' itu lagi, berdasarkan skrip asal, Tisha didera hingga rambutnya dibotakkan.



"Bagaimanapun selepas memikirkan isu sensitif yang pernah berlaku apabila ada pelakon wanita membotakkan kepala untuk menjayakan watak dalam filem, saya dan pihak produksi filem memikirkan memadai untuk rambut saya dipotong pendek," jelasnya.

Fasha juga tidak menyesal atau terkilan apabila rambutnya dipotong pendek seperti lelaki gara-gara mahu menjayakan watak.

"Ketika menerima tawaran untuk menjayakan filem ini lagi, saya sedar akan pengorbanan besar yang harus dilakukan. Sebagai pelakon saya perlu komited dengan apa yang dilalui watak dijayakan.

"Saya tidak kisah apabila terpaksa melakukan pengorbanan ini asalkan watak dijayakan nampak benar-benar hidup dan penonton yakin dengan lakonan apabila Badang ditayangkan di pawagam nanti," ujarnya dipetik sebagai berkata.


Sumber: Berita Harian
Foto: Fasha Sandha IG



         ________________________





No comments: