10 February 2017

TERIMA 'CINCIN PERKENALAN' - RAJA ILYA BELUM SEDIA BERUMAH TANGGA



Pelakon Raja Ilya yang sudah lebih tiga tahun menjalin hubungan cinta dengan jejaka berasal dari Australia, memberitahu bahawa dirinya itu masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Raja Ilya atau nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad berkata yang dia tidak menjadikan tempoh tersebut sebagai desakan kepadanya untuk menamatkan zaman bujang.

Menurutnya lagi, banyak perkara yang perlu difikirkan terutama soal keluarga sekiranya dia mengambil keputusan untuk berkahwin.

Klik untuk gambar besar




"Saya belum bersedia untuk berkahwin pada masa terdekat ini. Teman lelaki saya tahu tentang perkara ini dan dia sanggup tunggu.

"Bercakap mengenai hal ini, sejujurnya saya risau sekiranya perlu berjauhan dengan keluarga. Lagipun ibu saya sedang sakit kanser dan saya juga mempunyai banyak kucing di sini.

"Katakanlah saya berkahwin, saya perlu mengikut suami ke Australia kerana dia bekerja dan menetap di sana. Saya tidak boleh membawa ibu dan kucing-kucing saya ke sana. Itu bukan satu perkara yang mudah.



"Tambahan pula cuaca di sana berbeza dan orang tua sangat sensitif dengan cuaca yang mereka tidak biasa. Keputusan saya untuk tidak berkahwin dalam masa terdekat ini kerana keutamaan saya sekarang ialah keluarga dan kucing-kucing saya," jelasnya.

Dalam soal ini, Raja Ilya cukup bertuah kerana keluarga terutama ibunya tidak mendesak supaya dia segera berkahwin walaupun usianya bakal mencecah 32 tahun dan sudah lama menjalin hubungan cinta jarak jauh.

"Ibu saya seorang wanita yang berfikiran positif dan memahami. Dia tidak pernah kisah apabila saya membuat sebarang keputusan dalam apa jua perkara. Dalam hal ini juga, dia serahkan sepenuhnya kepada saya dan sentiasa memberi ruang waktu untuk saya fikir yang terbaik untuk kami," katanya.



Dalam pada itu, baru-baru ini Raja Ilya khabarnya telah dilamar oleh kekasihnya yang berasal dari Australia. Bagaimanapun, Raja Ilya menafikan perkara berkenaan dan memberitahu ia sekadar tanda kenalan dan bukanlah cincin pertunangan.

"Saya akui cincin ini memang diberikan oleh si dia, namun ini bukanlah cincin tanda bertunang. Cincin ini hanya sekadar hadiah kepada saya.

"Saya masih belum lagi bertunang dengan dia. Soal jodoh, kita sebagai manusia hanya merancang. Buat masa ini, keutamaan saya adalah keluarga dan kerjaya saya," tuturnya.


Sumber: Utusan Malaysia
Foto: Raja Ilya IG



         ________________________





No comments: