29 March 2017

AZHARINA: "HASRAT NAK LIHAT KEDUA-DUA BESAR JADI HAFIZ"



Meskipun reda dan pasrah dengan ketentuan Tuhan, penyanyi Azharina Azhar, 32, bagaimanapun berkata, sebagai ibu beliau tetap bersedih dengan pemergian si kecil yang berusia 23 hari.

Arwah adik Rizkie Azharin Azhar menghembuskan nafas terakhirnya akibat beberapa komplikasi seperti buah pinggang rosak, pendarahan otak dan paru-paru dipenuhi susu kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Hospital Putrajaya.

Jenazah adik Rizkie telah selamat dikebumikan selepas solat Asar semalam di Tanah Perkuburan Islam Batu 14.

Kata Azharina, hasratnya untuk melihat Rizkie itu menjadi hafiz apabila dewasa tidak kesampaian apabila anak angkat keduanya itu meninggal dunia.

Klik untuk gambar besar




"Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka sengsara, melalui kesakitan yang perit. Jika boleh, saya lebih rela pergi dulu sebelumnya. Namun sudah ajalnya, jadi saya harus reda.

"Hasrat di hati, saya mahu membesarkan dirinya seperti Rahmat (anak angkat pertama beliau). Saya mahu kedua-duanya menjadi hafiz apabila mereka besar nanti. Apa boleh buat, Tuhan lebih sayangkan Rizkie.

"Kalau boleh, saya mahu anak ini yang mengusung jasad saya ke liang lahad. Saya anggap semua ini ujian untuk saya apabila Tuhan mengambil nyawanya terlebih dulu," ujar Azharina ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batu 14.

Dalam keadaan sebak beliau berkata, biarpun masa dihabiskan bersama Rizkie terlalu pendek, beliau tetap menganggap semua kenangan terpahat antara mereka sebagai memori yang amat manis.

"Sayalah yang memandu kereta ketika ibu Rizkie hendak melahirkannya di hospital. Saya juga dapat memandikan dan menjaganya di rumah, seperti ibu yang lain. Dia dijaga seperti menatang minyak yang penuh.

"Baunya juga masih saya dapat hidu sampai kini. Walaupun saya belum berpeluang menjadi ibu kepada anak daripada darah daging sendiri, kedua-duanya tetap saya anggap seperti anak kandung," kata Azharina yang turut memaklumkan berita sedih itu kepada ibu sebenar Rizkie.

Menurut Azharina lagi, sekitar dua minggu juga tumpuannya terhadap anak beralih dek kesibukan menjelang persembahan di Hard Rock Cafe, 26 Mac lalu.

"Sibuk dengan urusan persembahan dan latihan, saya terpaksa melupakan seketika tanggungjawab sebagai ibu. Begitupun, saya sentiasa mengambil tahu perkembangannya. Sempat juga saya tidur dengannya sekembali daripada mengadakan latihan untuk persembahan," tuturnya.


Sumber & foto: Berita Harian



         ________________________





No comments: