"Alhamdulillah, semestinya sebagai ibu, saya berbangga, sebak dan gembira. Tiada kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan kegembiraan ini melihatkan kejayaan seorang anak," kata dramatis Noniswara Baharudin, 48, yang berbangga dengan kejayaan anak keduanya.
Anak kedua Nonis, Nur Erysha Emyra Zakaria, 18, telah berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pagi semalam.
Erysha yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki itu mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Pendidikan Islam.
Klik untuk gambar besar
Kata Nonis, pencapaian itu adalah hasil sikap remaja itu sendiri yang amat berdisiplin di bidang akademik.
"Erysha anak yang berdisiplin dalam akademik. Saya tidak perlu bersusah payah hendak memaksanya, sebaliknya dia sendiri tahu apa yang perlu dibuat. Jujurnya, bukan dia seorang saja, anak-anak saya yang lain juga begitu," tuturnya.
Tambah Nonis, Erysha merancang untuk mengikuti kursus dalam bidang perakaunan di universiti tempatan terlebih dulu sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom.
Ditanya apakah hadiah bakal diberikan kepada Erysha, kata Nonis, beliau belum lagi memutuskan mengenai perkara itu.
"Setakat ini, Daddy dia yang sudah berjanji untuk membelikan kereta Mini Cooper untuk Erysha jika dia cemerlang dalam SPM.
"Cuma, setakat ini dia belum lagi meminta apa-apa hadiah daripada saya," ujarnya yang mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Naveer Mihshon Zakaria, 22 dan Nazeer Danish, 10.
Sumber: Berita Harian
Foto: Noniswara IG & Erysha Emyra IG
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment