12 June 2017

SUAMI LARANG BERLAKON - LIYANA JASMAY NAFI, BAKAL KEMBALI AKTIF



"Alhamdulillah, setakat ini, suami masih mengizinkan saya berlakon," demikian kata pelakon dan penerbit, Liyana Jasmay menafikan suaminya, Fathuddin Mazlan melarangnya daripada berlakon.

Liyana turut memberitahu bahwa beliau akan kembali aktif selepas Aidilfitri.

"Saya berharap mendapat tawaran menarik. Kalau boleh, biarlah berbeza. Agak lama juga saya tak mencuba sesuatu yang baharu dalam lakonan.





"Tetapi dia (suami) keberatan jika penggambaran dilakukan di luar negara. Ini kerana dia rasa kurang selamat," jelasnya yang akan muncul dengan filem 'Bella & Jamie', Oktober depan.

Tambah Liyana, dia mahu terus berlakon asalkan mendapat 'lampu hijau' daripada suami.

Mengenai kehidupannya sebagai isteri dan ibu di rumah, Liyana mengaku hidupnya tidak terurus andai tiada pembantu rumah kesayangan yang dipanggil Bibik.

Liyana berkata, Bibik banyak membantunya mengurus rumah dan keperluan dua anak, Sofia Arissa yang berumur tiga tahun dan Selena Fathuddin, setahun lima bulan.

Klik untuk gambar besar


"Jika ada kerja yang saya tak dapat bereskan atau terlupa, Bibiklah yang bantu. Bibiklah yang uruskan anak-anak makan. Tapi kalau untuk suami, saya yang sediakan.

"Andai tiada Bibik, saya boleh jadi pening. Dia ibarat 'penyelamat' dan saya sangat sayang kepadanya," ujarnya.

Mengenai perniagaan fesyen jenama Mermaid Luxe yang diusahakannya sejak 2014, kata Liyana, dia dan kakak yang sama-sama mengendalikan perniagaan itu tidak menganggap diri mereka sebagai pereka fesyen.

"Kami menggunakan khidmat pereka fesyen untuk bekerjasama. Kami hanya memberi input. Kami menghasilkan produk fesyen seperti jenama Zara dan Uniqlo.

"Selain bekerjasama dengan Zalora, jenama saya juga dijual di kedai 'pop up' di pusat beli-belah Mid Valley hingga bulan depan. Koleksi raya ini diusahakan sejak Oktober tahun lalu," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: