01 August 2017

ENGGAN PANJANG ISU & AKUI SALAH - ALIFF AZIZ MAHU AFIFAH 'JUJUR'


"Sebagai manusia biasa saya tidak lepas daripada buat kesilapan dan saya akui melakukan perkara itu atas sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan. Apa yang saya boleh katakan, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

"Perkara sebenarnya hanya saya dan dia (Afifah) sahaja yang tahu," ujar penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, 26, yang akhirnya mengaku silap kerana curang terhadap isterinya Bella Astillah, 23, selepas dia kantoi berdua-duaan dengan Afifah Nasir di kelab karaoke, Khamis lalu.

Dalam masa sama, Aliff turut meminta maaf kepada semua pihak yang terjejas terutama isterinya dan ahli keluarga atas kejadian memalukan itu.





Malah, dia juga meminta maaf kepada keluarga Afifah yang turut terkesan dengan kontroversi berkenaan dan berharap agar isu ini tidak dipanjangkan lagi.

"Saya juga meminta maaf kepada semua pihak yang terkena tempias dengan kejadian ini dan meminta agar tidak memanjangkan isu ini lagi," katanya yang pada majlis sidang media yang diadakan di Hotel Roof Garden semalam.

Dalam pada itu, Aliff berkata, kesilapan tersebut merupakan paling besar yang pernah dilakukan dalam kehidupannya yang mana turut melibatkan beberapa pihak lain.

"Saya harap pihak Afifah tidak berdolak-dalik dan berfikiran sama untuk mengaku bersalah. Pada saya dia tidak perlu untuk menegakkan benang yang basah. Kalau niatnya mahu menjaga reputasi, ia sudah pun berakhir," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Dalam kesempatan itu, Aliff turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memukul isteri dalam kejadian tersebut.

Katanya, kecederaan yang dialami oleh Bella adalah akibat pergelutan yang berlaku antara mereka. Malah dia tidak berniat untuk mencederakan isterinya itu.

"Dakwaan saya pukul isteri seperti yang ditulis di akhbar sangat berat buat saya. Saya tidak pukul Bella, malah kenyataannya di dalam laporan itu hanyalah mengasari tanpa sengaja.

"Saya bukan jenis manusia kaki pukul dan tidak pernah sekalipun memukul siapa-siapa dengan sengaja," jelasnya.



Mengenai penahanannya di lokap, kata Aliff, ia memberi pengajaran berguna buat dirinya.

"Dua hari di dalam lokap memberi pengajaran bermakna buat saya tentang erti kebebasan. Saya bersyukur isteri juga telah menarik laporan itu dan memberi peluang kedua kepada saya," ujarnya yang berasal dari Singapura.

Sementara itu, isteri Aliff menjelaskan tujuannya menerjah kelab karaoke pada Khamis lalu bukan untuk menyerang suaminya yang sedang bersama adik kepada pelakon Anzalna Nasir.

Bella atau nama sebenarnya atau Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, kedatangannya ke lokasi itu adalah untuk berbincang secara baik berkaitan hubungan mereka.



"Saya datang ke pusat karaoke itu dengan hasrat untuk berbincang secara baik dengan suami saya. Saya minta dia (Afifah) keluar sebentar dari bilik itu bagi memberi ruang kepada kami.

"Tapi dia tidak peduli dan tetap berada di situ sehingga keadaan tidak terkawal dan berlaku kejadian tidak diingini.

"Sama ada saya maafkan dia atau tidak, itu biarlah masa yang menentukannya kerana buat masa ini hati saya sangat terluka.

"Kalau boleh biar benda ini senap sahaja selepas ini. Saya juga harap pihak-pihak tersebut menjauhkan diri daripada saya dan keluarga.



Dalam pada itu, ditanya tentang kenyataan kakak Afifah yang menuduh dia sebagai berperangai pelik dan meroyan selepas bersalin, Bella berkata, dia sangat terkesan dengan perkara itu.

"Apa yang di cakap itu betul-betul menyakitkan hati saya, malah semua ahli keluarga yang berada di Sabah turut terasa.

"Meroyan itu macam mana ya? Pada saya tindakan yang saya lakukan itu bukan meroyan. Saya masih bersabar dan berfikiran waras ketika itu, cuma situasi yang tidak terkawal telah mengubah keadaan menjadi lebih buruk," ujarnya.

Aliff dan Bella berkahwin pada September tahun lalu dan baru sahaja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean, pada 8 Julai lalu.


www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________



No comments: